
MUAR: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana dipercayai memiliki dan menjual mercun tanpa permit ketika musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 40 tahun itu dilakukan ketika serbuan ke atas sebuah kilang di Bakri, dekat sini pada kira-kira pukul 4.30 petang, Selasa lepas (12 Dis).
Katanya hasil serbuan pihaknya telah merampas sebanyak 149 kotak mercun pelbagai jenis dengan anggaran nilai RM83,550 yang dipercayai untuk pasaran di Muar dan kawasan sekitarnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun dan denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Raiz Mukhliz berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 tahun kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan arak tanpa cukai.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan pada Rabu lepas (13 Dis) setelah polis membuat serbuan terhadap sebuah kilang di Jeram Bukit Batu, dekat sini, kira-kira pukul 3 petang.
Katanya hasil serbuan, sebanyak 451 kotak dipercayai arak tidak bercukai bernilai RM129,888 dirampas.
Turut dirampas adalah 13 tong plastik biru mengandungi 200 liter cecair disyaki pati arak serta dua buah lori.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak tidak lebih daripada 25 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Raiz Mukhliz dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan penyeludupan serta terus menyalurkan maklumat kegiatan tersebut. -Bernama

