
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 47 tahun didakwa merogol jirannya yang masih bawah umur, tiga tahun lalu.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, kepada pertuduhan terhadapnya pada Khamis.
Dia dituduh merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan itu pada jam 10 pagi, 8 Mei 2020 di sebuah rumah, di sebuah kampung di Kota Marudu.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah melepaskan lelaki itu dengan ikat jamin RM15,000 berdeposit RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu, dia dilarang memasuki kampung tempat tinggal mangsa, tidak mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis Kota Marudu dua kali sebulan, dan akan disemak semula selepas enam bulan.
Lelaki itu juga diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya, jika ada, kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.
Mahkamah menetapkan 13 April tahun ini untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan manakala lelaki itu tidak diwakili.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


