Lelaki nyaris lemas disedut pembetung sungai

22 Apr 2025 • 8:17 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Patimang Abdul Ghani

KOTA MARUDU: Sekumpulan lelaki berdepan detik cemas apabila salah seorang rakan mereka nyaris lemas disedut arus pembetung laluan konkrit di Sungai Simpangan, dekat sini, pada petang Ahad.

Kumpulan bermotosikal itu dipercayai singgah di sungai tersebut untuk melakukan aktiviti mandi-manda dalam perjalanan pulang dari beraya di rumah rakan-rakan di sekitar Pekan Kota Marudu.

Ketika aktiviti itu, salah seorang mereka hampir dibawa arus menyebabkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Afendi Mohammad Sul, 33, bertindak menyelamatkan rakannya.

Malangnya, dia sendiri disedut arus lalu tersangkut pada pembetung tersebut.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, PBK I Asman Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang dan tujuh anggota diketuai PBK I KUP Gabuh Maradan bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kira-kira 10 kilometer dari balai, dan tiba pada jam 5.28 petang.

Beliau berkata, Mohd Afendi diselamatkan oleh pihak bomba dibantu rakan-rakan mangsa dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurut Asman, rakan-rakan mangsa difahamkan terpaksa memegang mangsa bagi mengelakkannya daripada lemas sementara menunggu bomba tiba.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk menarik keluar mangsa dari pembetung itu menggunakan tali.

“Sebelum pihak bomba tiba, mangsa tersangkut kira-kira 30 minit, menyebabkan mangsa dalam keadaan lemah setelah diselamatkan.”

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.