Lelaki pedofilia dipenjara 18 tahun, 24 sebatan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Imran Abdullah dipenjara 18 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memperdagangkan bayi, amang seksual serta merakam video penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, dua tahun lalu.

JOHOR BAHRU - Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas 10 pertuduhan amang seksual, memperdagangkan bayi dan merakam video penganiayaan seksual, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Zamir Suhaimee, Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 30, mengaku salah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memperdagangkan dua bayi perempuan berusia lima hari dan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan bagi maksud eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Muhammad Imran didakwa melakukan semua perbuatan itu di Taman Melor, Tampoi di sini serta di Taman Kota Masai dan Taman Scientex, Pasir Gudang antara jam 9 malam, 11 Mac hingga 12 tengah hari, 24 November 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi empat lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun ketika kejadian mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh turut berdepan tiga lagi tuduhan iaitu menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan cara merakam video ketiga-tiga mangsa yang sama mengikut Seksyen 5 akta yang sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur dan di tepi rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam dan Haziq Ishak.

Dalam prosiding rayuan, lelaki itu meminta hukuman ringan kerana mempunyai tiga anak yang masih kecil dan menanggung ibu bapa yang sakit, selain menyesali perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim dalam hujah mereka menyatakan kepentingan awam perlu diutamakan melebihi kepentingan peribadi serta mengambil kira kesan trauma terhadap mangsa yang masih kecil, selain menetapkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh dipenjara secara keseluruhan selama 18 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 19 Julai 2025 serta 24 sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh itu dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.