
KUALA LUMPUR — Karya-karya ciptaan M. Nasir sememangnya terkenal dengan lirik penuh makna tersirat hingga membuatkan ramai gemar mentafsir mesej di sebalik setiap lagu.
Baru-baru ini, seorang lelaki mencuit perhatian netizen apabila berkongsi bagaimana dia kini ‘pening kepala’ selepas isterinya kerap bertanya mengenai maksud lagu-lagu M. Nasir yang didakwa mempunyai kaitan dengan kisah para nabi.
Menerusi hantaran itu, pemilik akaun Threads @jimmyjalil berkata isterinya sering bertanya mengenai maksud tersirat di sebalik lagu-lagu ciptaan M. Nasir selepas dia memperkenalkan karya-karya penyanyi berkenaan.
Menurutnya, dia dengan penuh yakin memberitahu bahawa kebanyakan lagu tersebut diinspirasikan daripada kisah-kisah nabi.
“Sejak perkenalkan lagu @mnasirmohamed pada wife, dia selalu tanya mana M. Nasir dapat ilham buat lagu ni.
“Aku pun confident bagitahu ni dari cerita-cerita nabi semua. Dah setiap lagu dia tanya ni kisah nabi yang mana. Aku dah kena bedah lirik pula sekarang ni,” tulisnya sambil berseloroh.
Namun apa yang lebih mencuit hati netizen apabila hantaran itu turut mendapat perhatian daripada M. Nasir sendiri.
Jawapan Ringkas Tapi ‘Menusuk’
Penyanyi dan komposer terkenal itu hanya membalas ringkas:
“Pandai-pandailah.”
Jawapan spontan tersebut terus mengundang pelbagai reaksi lucu daripada netizen yang rata-ratanya terhibur dengan respon bersahaja itu.
Terkejut menerima balasan daripada idolanya sendiri, pemilik hantaran tersebut kemudian membalas:
“Hahahaha baik dato… saya akan kaji dan bedah lirik lagi. Jumpa dato CIPTA 4 nanti hehehe.”
Ruangan komen turut dipenuhi perkongsian netizen mengenai lagu-lagu M. Nasir yang didakwa mempunyai maksud mendalam dan bersifat simbolik.
Seorang pengguna menulis:
“Raikan Cinta salah satunya bro. Kisah Nabi Ismail dengan ibunya Siti Hajar. Yang lain kalau ada… pandai-pandailah.”
Tidak kurang juga yang berseloroh dengan lirik lagu popular penyanyi itu sambil meniru gaya nyanyiannya.
“Bang… mulakan dengan… adaaaa masanyaaaa aku suka bertemaaannn, adaaa masanyaaaa aku sukaaa bersendiiiriii. Kena ikut tone,” tulis seorang netizen.
Malah ada juga yang meninggalkan lirik romantis dipercayai antara karya terkenal M. Nasir:
“Bisakah aku bertanya padamu
Dari mana datang sayang ini
Dari redup matamu
Atau bisikan mesra”
Fedtri Yahya Turut Tinggalkan Komen
Turut mencuri perhatian ialah komen daripada pengacara terkenal, Fedtri Yahya yang berkongsi pengalamannya berbual dengan M. Nasir mengenai proses menghasilkan lagu.
“Pernah berbual dengan M. Nasir — katanya, dia kalau buat lagu, lagu tu mestilah melepasi tahap kesedapan tertentu. Di atas sedap, ada lapis sedap lagi,” tulisnya.
Perkongsian itu sehingga kini terus mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya mengakui karya-karya M. Nasir sememangnya penuh makna tersirat dan mempunyai ‘jiwa’ tersendiri. – The Malaysian Update
The post Lelaki Pening Bila Isteri Asyik Tanya Maksud Lirik, “Pandai-Pandailah…” — Jawapan Ringkas M. Nasir Buat Netizen Pecah Ketawa appeared first on The Malaysian Update.
