KAJANG – Lelaki yang menyerahkan semula dompet milik pasangan warga China menerusi video tular sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 malam, Rabu.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih.
"Susulan laporan diterima, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di media sosial TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan.
"Hasil siasatan lanjut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang pada jam 1 pagi Khamis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Naazron berkata, suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak polis.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243," katanya.
Sebelum ini, tular video pertikaian antara seorang lelaki dan pasangan warga China di sebuah balai polis di sini.
Video terbabit memaparkan pasangan warga China terbabit mendakwa wang tunai RM10,000 dalam dompet mereka hilang ketika lelaki terbabit memulangkan dompet itu.
Dalam pada itu, menerusi satu hantaran, suami kepada pemilik dompet itu mendakwa wang itu didakwa disimpan dalam satu dompet kerana mahu digunakan untuk perbelanjaan harian sepanjang berada di Malaysia.
Lelaki itu mendakwa, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika mereka membeli-belah di CLC Supermarket, Semenyih.
Dakwa lelaki itu, isterinya tertinggal dompet di atas peti sejuk beku aiskrim sebelum menyedari dompet berkenaan hilang dan mereka kemudiannya meminta pihak pasar raya menyemak rakaman CCTV.
Lelaki itu mendakwa rakaman itu menunjukkan seorang kanak-kanak mengambil dompet tersebut dan menyerahkannya kepada ibunya sebelum keluarga itu dilihat bergegas ke kaunter pembayaran sebelum meninggalkan pasar raya.
Lelaki itu turut mendakwa rakaman CCTV dan nombor pendaftaran kenderaan sudah diserahkan kepada polis sebelum pemilik kenderaan terbabit dihubungi bagi memulangkan dompet itu.
Individu itu mendakwa pemilik kenderaan itu kemudiannya hadir ke balai polis bersama dompet milik isterinya namun mereka mendapati wang tunai RM10,000 sudah tiada di dalam dompet.
Bagaimanapun lelaki yang memulangkan dompet itu menafikan mengambil wang berkenaan serta mendakwa hanya mahu membantu selepas dompet itu ditemui.
Lelaki itu turut mendakwa dirinya sanggup hadir ke balai polis demi untuk menyerahkan dompet itu semula.






