
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang merogol anak perempuannya selepas memintanya menonton video lucah, dipenjara 16 tahun dan dikenakan 10 sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki itu yang menukar pengakuannya dan mengaku kepada pertuduhan terhadapnya selepas empat saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan.
Lelaki itu telah merogol anak perempuan berusia 12 tahun itu antara Januari dan Mei 2022 antara 1 tengah hari dan 11.30 malam di sebuah rumah di Manggatal.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 12 Dis 2022.
Lelaki itu menghadapi dua lagi pertuduhan kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya dan perbicaraan kes itu akan diteruskan pada 20 dan 21 Feb tahun depan.
Semasa mitigasi, lelaki yang tidak diwakili itu memohon hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia mempunyai anak kecil untuk dijaga dan dia menyesali salah lakunya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan ia kesalahan berat dan berleluasa.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur apabila lelaki itu datang kepadanya, memeluknya dan memintanya menonton video lucah.
Kerana takutkan bapanya, dia ikut saja apa yang diminta. Lelaki itu kemudian memintanya melakukan perbuatan seperti dalam video lucah sebelum dia merogol mangsa.
Mangsa mendapat kekuatan untuk membuat laporan polis terhadap bapanya selepas kakak tirinya yang juga didakwa mangsa amang seksual bapanya, membuat laporan polis.
Lelaki itu ditahan berikutan laporan polis yang dibuat oleh anak kandungnya dan anak tirinya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


