
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun dipenjara 12 tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol seorang remaja, yang kemudian cuba membunuh diri dua kali kerana kejadian rogol itu.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Shahreyan Syah Lagayu, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Shahreyan, pada Selasa.
Shahreyan didapati bersalah merogol remaja berusia 16 tahun itu di dalam sebuah kereta di Kompleks Sukan Likas, di sini, antara 10 malam dan 11.59 malam pada 10 Nov 2019.
Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Shahreyan menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Dis 2019 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, mahkamah berkata ia merupakan kesalahan serius di mana tertuduh telah merogol mangsa yang baru berusia 16 tahun dan kesalahan yang dilakukan Shahreyan telah menghancurkan maruah mangsa.
Hakim berkata dia telah memerhatikan tingkah laku Shahreyan semasa perbicaraan dan melihat dia berasa insaf selain ahli keluarganya sentiasa berada di mahkamah untuk memberi sokongan.
Bagaimanapun, mahkamah menganggap ia kes kepentingan awam dan kesalahan itu sangat serius.
Semasa rayuan, peguam Mohd Fadzil Abd Karim yang mewakili Shahreyan, meminta hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengatakan Shahreyan direman sejak ditangkap kerana permohonannya untuk ikat jamin ditolak.
Mohd Fadzil berkata tempoh dua tahun 11 bulan direman telah memberi pengajaran kepada Shahreyan, yang perkahwinannya mula retak. Sebelum ditahan, Mohd Fadzil berkata Shahreyan menjaga ibunya berusia 60 tahun yang juga seorang ibu tunggal.
Menurut Mohd Fadzil, berdasarkan fakta kes, tiada sebarang kecederaan atau keganasan dilakukan Shahreyan terhadap mangsa.
Dia juga berhujah bahawa ia adalah kesalahan pertama Shahreyan dan meminta hukuman itu berjalan dari tarikh dia ditangkap.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap Shahreyan atas alasan ia merupakan kesalahan serius dan keji yang dilakukan Shahreyan.
Mas Izzaty berhujah bahawa kejadian ini telah menyebabkan trauma berpanjangan kepada mangsa kerana Shahreyan telah menghancurkan maruah mangsa. Ini terbukti semasa perbicaraan di mana mangsa telah memberi keterangan bahawa dia cuba membunuh diri sebanyak dua kali dan kini dalam rawatan.
Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa trauma yang dialami mangsa telah disahkan oleh ibu dan rakannya. Menurut Mas Izzaty, Shahreyan telah mengambil kesempatan ke atas remaja yang lemah itu.
Dia seterusnya berhujah bahawa hukuman berat perlu diberikan juga bagi mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan seksual.
Lapan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil semasa perbicaraan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

