Lelaki samun, cabul warga emas di Taiping ditahan

17 Aug 2023 • 9:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun, melarikan kenderaan dan mencabul kehormatan seorang wanita warga emas di Pokok Assam dekat Taiping, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata pihaknya menerima maklumat pada 8.40 pagi mengenai insiden itu dan berjaya menahan suspek yang berumur 32 tahun pada 3.30 petang hari sama.

Beliau berkata suspek, yang menutup muka dengan kain, telah bertindak menarik mangsa berusia 75 tahun masuk ke dalam rumah dan mencabul mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersendirian di rumahnya.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki Honda CRV milik menantu mangsa selain melarikan barang berharga serta wang tunai dengan nilai kerugian kira-kira RM5,000.

“Bagaimanapun, kenderaan menantu mangsa telah dijumpai kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi kejadian,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Razlam berkata suspek, yang tidak bekerja dan positif dadah jenis heroin, ditahan reman selama seminggu hingga 22 Ogos ini bagi membantu siasatan. -Bernama