Lelaki samun kedai serbaneka ditahan kurang 24 jam

21 Apr 2026 • 5:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki samun kedai serbaneka ditahan kurang 24 jam
Lelaki samun kedai serbaneka ditahan kurang 24 jam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki tempatan yang merompak sebuah kedai serbaneka di kawasan Gelang Patah di sini dengan mengacu sebilah pisau terhadap seorang juruwang berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi pada Ahad, mangsa yang sedang bertugas di kaunter juruwang berdepan detik cemas apabila didatangi lelaki terbabit yang bertindak mengacukan senjata sebelum mengarahkan wang tunai diserahkan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.45 pagi hari sama sebelum operasi segera digerakkan bagi mengesan suspek.

“Hasil risikan dan maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 24 tahun dalam operasi yang dijalankan antara jam 4 petang hingga 11.50 malam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing awal turut didapati negatif dadah.

"Polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah pisau, sarung muka, sarung tangan serta pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian.

"Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan wang tunai berjumlah RM96 sahaja.

"Suspek kini direman tujuh hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak bersenjata," ujarnya.