Penyanyi veteran, Datuk Zainal Abidin mengaku dirinya menjalani rawatan untuk mengembalikan fungsi alat kelamin selepas mendapat nasihat pakar.
Zainal Abidin jalani rawatan alat kelamin
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi berusia 64 tahun itu berkata, lemah masalah kelamin bukanlah satu penyakit sebaliknya kelemahan atas faktor usia seseorang seperti dirinya,
“Lemah alat kelamin ini bukanlah satu penyakit, tetapi satu kelemahan yang disebabkan oleh faktor usia. Saya sendiri pun dah menjangkau usia 60 tahun. Jadi, memang patut kalau ia tak berfungsi seperti mana orang muda.
“Tambahan pula, disebabkan kencing manis, darah tinggi, tahap kolesterol dan sebagainya, ia menggangu kesihatan kelamin saya dan tidak berfungsi seperti biasa. Ia beransur-ansur menjadi semakin lemah,”katanya.

Cerita Zainal, dirinya mula nampak kemajuan selepas menjalani prosedur P-Shot dan makan ubat seperti mana atas nasihat doktor.
“Tapi, tidaklah ia kembali 100 peratus seperti mana ketika saya berusia 18 tahun. Sekurang-kurangnya, ia menyelamatkan keadaan rumah tangga saya sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya lagi.
Lelaki tak perlu segan, malu dapatkan rawatan baiki masalah alat kelamin
Dalam pada itu, pelatun lagu Hijau itu juga menasihati golongan lelaki tidak perlu malu dan sembunyikan masalah untuk memperbaiki masalah alat kelamin mereka.
Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan khidmat pakar bertauliah kerana kelemahan itu masih boleh diperbaiki dan perlu dipandang serius memandangkan ia mampu mendatangkan kesan hubungan suami isteri serta rumah tangga.
“Sebenarnya, tak perlu segan untuk bersuara mengenainya kerana apabila kita berkongsi, ia memberi peluang kepada mereka yang ada masalah sama seperti pernah saya lalui, untuk berusaha dan memperbaiki masalah itu.
“Kalau disimpan, ia akan mengganggu hubungan dalam rumah tangga dan hubungan suami isteri itu sendiri akan menjadi semakin pudar. Ia akan mendatangkan satu perjalanan hidup yang negatif.
“Kalau saya berkongsi, maka, akan lebih ramai orang yang tahu dan pergi untuk melakukan pemeriksaan,” kongsi Zainal.
Tegas Zainal, mereka yang berdepan dengan masalah tersebut perlu mendapatkan nasihat pakar dan bukan sewenang-wenangnya membeli lambakan produk tidak sahih keberkesanannya.
Katanya, orang ramai dinasihati berhati-hati dalam membeli sebarang produk yang berkaitan masalah alat kelamin di media sosial kerana ia mungkin tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Nasihat saya, sekiranya anda melalui masalah ini, berundinglah dengan pasangan dan dapatkan nasihat pakar. Jangan suka-suka membeli produk yang dijual di Facebook atau TikTok, yang mana, mungkin tak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”nasihatnya.
Jelas Zainal, ia berkemungkinan boleh mendatangkan risiko dengan pengambilan dos yang tinggi sehingga boleh menaikkan tekanan darah, panas di bahagian telinga, pening atau berkemungkinan boleh pengsan.
Sumber: Harian Metro (Syafil Syazwan Jefri)
The post Lelaki tak perlu malu! Zainal Abidin buat rawatan kembalikan fungsi alat kelamin appeared first on Oh My Media.


