Lelaki Terselamat, Dikeluarkan Daripada Runtuhan Lapan Hari Selepas Gempa Venezuela

3 Jul 2026 • 5:54 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Lelaki Terselamat, Dikeluarkan Daripada Runtuhan Lapan Hari Selepas Gempa Venezuela

CARACAS, 3 Julai (Bernama-Xinhua) — Selama beberapa hari, penyelamat dengan penuh hati-hati menggali runtuhan bangunan di negeri La Guaira yang dilanda gempa bumi di Venezuela.

Mereka sedang cuba menghampiri seorang lelaki yang terperangkap selama lapan hari di bawah runtuhan itu iaitu jauh melangkaui ‘tingkap kritikal’ 72 jam untuk bertahan, lapor Xinhua.

Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez mengumumkan pada Khamis, pengawal keselamatan berusia 43 tahun Hernan Alberto Gil Flores masih hidup ketika diselamatkan daripada kompleks Galerias Playa Grande di La Guaira selepas lebih 100 jam kerja menyelamat.

“Hari ini kita meraikan terselamatnya Hernan. Kita meraikan kehebatan semangat manusia apabila orang ramai bersatu untuk satu tujuan: untuk menyelamatkan yang lain,” kata Rodriguez di media sosial, mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat Venezuela dan negara luar yang terlibat dalam operasi itu.

Video yang mengiringi hantarannya menunjukkan penyelamat dari Chile dan agensi Perlindungan Awam Venezuela bersorak selepas Gil Flores selamat dibawa ke permukaan.

Gil Flores sedang bertugas di pondok pengawal di bangunan tujuh tingkat di bandar pantai Catia La Mar apabila dua gempa bumi kuat melanda Venezuela pada 24 Jun.

Bangunan itu ranap lalu menimbusnya di bawah runtuhan.

Sebelum penyelamatan itu, pasukan dari beberapa negara bekerja sepanjang masa secara bergilir-gilir untuk mendekatinya.

Menurut AFP, penyelamat berkata awal Khamis mereka hanya kira-kira satu meter dari Gil Flores, tetapi perlu meneruskan (penggalian) dengan sangat berhati-hati untuk mengelak daripada menyebabkan keruntuhan.

Cristian Vera, ketua pasukan penyelamat Chile, berkata struktur runtuhan itu sangat kompleks, menyukarkan untuk sampai ke lokasi tepat mangsa terperangkap. “Ia benar-benar satu keajaiban,” kata isteri mangsa, Gusbimar Gonzalez. “Saya terharu kerana ramai orang berkumpul untuk menyelamatkan seorang individu.”

Penyelamatan beliau bukan satu-satunya kisah luar biasa yang muncul daripada bencana itu.

Juga di La Guaira, seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap di bawah runtuhan telah diselamatkan enam hari selepas gempa bumi.

Pakar umumnya percaya bahawa kelangsungan hidup di bawah serpihan gempa bumi menjadi sangat sukar selepas 72 jam, sering dianggap sebagai tingkap penyelamat utama.

Gempa bumi berkembar pada 24 Jun itu setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 2,295 orang, mencederakan 12,400 dan 12,841 kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi terkini.

Pihak berkuasa merekodkan 782 gegaran susulan sejak bencana itu.

Walaupun kekerapan dan magnitud gempa susulan semakin rendah, Presiden Dewan Negara Venezuela Jorge Rodriguez memberi amaran pada Rabu bahawa risiko gempa susulan yang lebih kuat masih ada.

Pihak berkuasa Venezuela berkata lebih 30,000 pekerja penyelamat dan pemulihan negara telah menyertai ribuan responden antarabangsa dalam usaha mencari dan menyelamat.

Anjing penyelamat dan kenderaan sokongan juga dikerahkan di kawasan bencana untuk membantu mencari mangsa yang terselamat dan memindahkan penduduk terjejas.

The post Lelaki Terselamat, Dikeluarkan Daripada Runtuhan Lapan Hari Selepas Gempa Venezuela appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved