Lelaki Terselamat Jatuh Dari Tingkat Lima Hotel, Hanya Alami Luka Ringan

29 Aug 2023 • 10:03 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lelaki Terselamat Jatuh Dari Tingkat Lima Hotel, Hanya Alami Luka Ringan

Seorang lelaki warga Singapura terselamat selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat lima sebuah hotel di Krabi, Thailand, lapor The Thaiger.

Penyelamat Krabi, Pitak Pracha telah dipanggil ke hotel di Jalan Takuapa, selatan Krabi bagi tujuan membantu mangsa yang berusia 37 tahun itu.

Bagaimanapun, mangsa yang terjatuh dari tingkat lima itu hanya mengalami kecederaan ringan. Dia dikatakan hanya mengalami kesan calar dan lebam di beberapa bahagian badannya.

Selepas operasi menyelamat selesai, mangsa telah dibawa ke Hospital Krabi untuk tujuan rawatan menyeluruh ke atas badannya.

Sementara itu, pasukan polis turut tiba di tempat kejadian bagi memulakan penyiasatan mengenai insiden dramatik tersebut.

Pegawai polis dikatakan telah menyoal siasat beberapa saksi yang berada di tempat kejadian.

Rakan rapat mangsa mendedahkan bahawa, mangsa sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Mangsa baru-baru ini dikatakan telah mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Krabi untuk menangani keadaan mentalnya itu.

Mangsa terjatuh di atas bumbung plastik sebelum jatuh ke atas tanah

Mangsa bernasib baik kerana dia dilaporkan telah mendarat di atas bumbung plastik terlebih dahulu sebelum terhempas ke tanah.

Seorang kakitangan hotel mendedahkan bahawa kejadian itu berlaku selepas sejam mangsa dan rakannya mendaftar masuk ke hotel tersebut.

Mereka dikatakan telah menempah penginapan di hotel tersebut untuk satu malam dan merancang untuk menaiki penerbangan pulang ke Singapura pada pagi berikutnya.

Kes tersebut sehingga kini masih sedang disiasat dan pegawai memaklumkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan lebih teliti untuk mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.

Sebelum ini, dalam kejadian pada Februari lalu, seorang lelaki warga Thailand berjaya diselamatkan selepas terjatuh 70 meter dari tebing di wilayah tengah Phetchabun.

Lelaki itu dipercayai sedang bercuti dan meminta seorang remaja di kawasan itu untuk mengambil gambarnya.

Untuk mendapatkan latar belakang yang sempurna, mangsa telah membelakangkan tebing dan terus melangkah sehingga dia kemudiannya terjatuh dari tebing.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya.

Sumber: The Thaiger