Lelaki tumbuk pemandu selepas kereta berlanggar

LocalPolitics
5 Apr 2025 • 12:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menumbuk seorang pemandu kereta selepas berlaku perlanggaran di tepi Jalan Batu 3, Jalan Apas pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek, 27, ditahan bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila suspek dikatakan bertindak kasar terhadap seorang pemandu Proton Iswara, selepas berlaku perlanggaran antara kenderaan mangsa dan suspek.

Katanya, mangsa yang berhenti untuk memeriksa kerosakan pada kenderaannya didakwa ditumbuk sebanyak tiga kali oleh suspek.

“Atas faktor keselamatan diri, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Champin berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek bersama kenderaan yang dikenalpasti terlibat dalam kes itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah disabitkan dengan dua kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.