
PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga China yang dikehendaki pihak berkuasa negaranya diserahkan kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur semalam.
Dia terdahulu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa.
Lelaki berusia lingkungan 50-an yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira jam 9 malam, 17 November lalu, ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, suspek ditahan selepas dia didakwa cuba menyogok pegawai penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan terhadapnya berkaitan kes penipuan serta pengubahan wang haram.
Hasil semakan lanjut mendapati, lelaki terbabit turut disenarai sebagai individu dikehendaki oleh Suruhanjaya Penyeliaan Kebangsaan China (NCS), manakala pasportnya telah dibatalkan oleh kerajaan negara itu.
Susulan penemuan berkenaan, SPRM merujuk perkara itu kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan China bagi tindakan lanjut.
Lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Kedutaan China di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan dan penyerahan lelaki berkenaan ketika dihubungi. - Getaran, 20 November 2026





