SABAK BERNAM - Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di kawasan sawah berhampiran Parit 1½ Barat Sungai Besar, di sini tengahari Rabu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 67 tahun dan merupakan penduduk tempatan.
"Lokasi mangsa ditemui meninggal dunia berhampiran dengan kediamannya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian disebabkan salur darah jantung pecah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya.

