Lemang yang rentung? #RAYA2024

20 Apr 2024 • 9:00 AM MYT
Nas
Nas

An engineer who loves to cook

Image from: Lemang yang rentung? #RAYA2024
Persediaan Memasukkan Daun Pisang ke dalam Buluh Lemang. Sumber: Nascook

Matahari bersinar terik di langit, dan tanah kering di sekeliling kampung membuatkan cuaca semakin panas membahang. Suhu sekitar mencecah 38 darjah celcius. Keringat menitik tidak kering dikulit.

Walau bagaimanapun, kami tidak berputus asa. Kami memutuskan untuk tetap menjalankan tradisi membakar lemang sebagai sebahagian daripada pelengkap Hari Raya kami.

Tiada yang mahir hanya anak muda yang baru berjinak-jinak berbekalkan ilmu-ilmu yang diturunkan dari mereka yang lebih tua menjadikan aktiviti ini lebih mencabar. Meskipun mencabar dengan cuaca yang membahang, kami sedia menghadapi cabarannya!

Kami mengumpulkan kayu bakar dan membina dapur khas untuk membakar lemang di tepi rumah. Sementara itu, yang lainnya sibuk menyiapkan bahan-bahan untuk lemang. Walau peluh membasahi dahi dan kulit terasa terbakar akibat panas matahari, kami tetap gigih bekerja. Maklumlah, rumah kampung tiada pendingin hawa lagi pula dalam bulan puasa. Memang terasa hausnya.

“Buka puasa nanti kami nak air sejuk 1 jug sorang!”-Begitulah dialog permintaan anak-anak muda yang ditugaskan membakar lemang. Haha panas sungguh tidak terkata.

Apabila semua persiapan selesai, kami mula membakar lemang di atas api yang membara. Proses memasak lemang itu memerlukan kesabaran dan kecekalan hati, terutamanya ketika cuaca begitu panas. Bulan puasa pulak tu. Namun, dengan semangat anak muda yang tidak padam, kami teruskan usaha. Lemang dipusing-pusing, diketuk-ketuk agar meghasilkan lemang yang mampat dan masak dengan sekata. Api pula dijaga rapi agar lemang tidak hangit.

“Siapa yang rentung ni?, lemang ke tuan yang bakar lemang?"-Begitulah seloroh kami bila melihat mereka sudah terkulai layu.

Image from: Lemang yang rentung? #RAYA2024
Proses Membakar Lemang. Sumber: Nascook

Sekelip mata mereka sudah basah bermandian di pili air dek kerana cuaca yang begitu panas dalam bulan puasa. Mahu tidaknya, boleh pengsan kekeringan kerana strok haba mereka ni.

Akhirnya, lemang pun siap dimasak dan kami berkumpul sekeluarga menikmati hidangan itu bersama-sama semasa berbuka. Pertama kali mencuba,Alhamdulillah, memang sedap tak terkata! Walaupun sedikit garing tapi komitmen mereka membakar lemang cukup menutup semua kekurangan tersebut. Kami bertepuk tangan mengucapkan kata syukur atas usaha masing-masing! Syabas!

Lemang di bahagikan kepada jiran tetangga dan saudara-mara untuk sambutan hari raya esoknya. Walaupun cuaca panas membuatkan kami keletihan, tetapi usaha kami membakar lemang buat pertama kali mengurusnya sendiri atas bantuan orang tua kami membuahkan hasil yang cemerlang. Alah bisa tegal biasa.

Kami bersyukur kerana mampu berkumpul dan merayakan Hari Raya bersama-sama, meskipun di tengah-tengah cabaran cuaca, jalan yang sangat sesak, air yang berkurangan kerana cuaca kemarau dan lain-lain tidak mematahkan semangat kami untuk berkumpul beraya bersama.

Boleh saja lemang dibeli lebih senang dan cepat. Tetapi nilainya tidaklah sama dengan membuatnya sendiri. Tentunya semangat dan azam kami yang kuat untuk menyiapkannya lebih dihargai. Pada peniaga lemang diluar sana, anda memang hebat. Mungkin kami patut tukar waktu bakar lemang pada malam hari pula tahun depan! haha

Dalam kesukaran itu, kami belajar tentang kepentingan kegigihan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup. Kami juga sedar bahawa semangat gotong-royong dan bekerjasama adalah kunci untuk mengatasi segala ujian. Pengalaman ini menjadikan kami lebih bersyukur dan menghargai setiap detik kebahagiaan yang kami miliki.

#RAYA2024 #RAYACARAKAMI #RAYABERSAMA #RAYAKANSEBULAN


Nas adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.