
KUALA LUMPUR -- UMNO memberi kuasa penuh kepada Lembaga Disiplin untuk menjalankan siasatan terhadap ahlinya yang didapati melanggar peraturan dan disiplin seperti tertakluk dalam perlembagaan parti itu.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu memandang serius sebarang pelanggaran disiplin mahupun perlakuan yang dilihat bertentangan dengan undang-undang UMNO.
"Fasal 20.9 (f) dalam Perlembagaan UMNO jelas menggariskan prinsip penting untuk setiap ahli “Memelihara nama baik dan maruah parti" dan tidak melakukan apa sahaja bentuk tindakan, perlakuan, penulisan mahupun percakapan yang boleh ditafsirkan menyanggahi prinsip ini.
"Penyertaan mana-mana ahli dalam satu-satu pakatan yang tidak dianggotai UMNO atas nama apa sekalipun juga turut diperincikan dalam Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua ahli parti diharapkan untuk kekal bersatu dan bersetia dengan wadah yang menjadi induk penting dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
Katanya, perkara itu bagi memastikan agama Islam terpelihara dan memartabatkan agenda Melayu-Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, parti akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia yang menyertai kempen Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.
Datuk Muhammad Jailani Khamis sebelum ini dilihat hadir ke majlis pengumuman calon PN di Johor dan mendakwa dirinya hadir bukan sebagai ahli UMNO.
Katanya, kehadirannya itu bagi mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa. – Getaran, 25 Ogos 2023
