
Lembaga Keamanan" (Board of Peace) tajaan Donald Trump bukanlah sebuah inisiatif perdamaian. Ia merupakan pemusatan kuasa kekal yang direka untuk menghalalkan rampasan tanah, mengkomersialkan kemusnahan, dan menukar pelanggaran berat undang-undang antarabangsa menjadi sebuah projek pembangunan hartanah berjenama. Dengan melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi seumur hidup dan memberi dirinya kuasa untuk memilih pengganti, Trump telah membina sebuah badan yang mengekalkan kuasanya sendiri tanpa mandat demokratik, akauntabiliti undang-undang, atau legitimasi antarabangsa.
Objektif utama Lembaga Keamanan ini adalah untuk memajukan cita-cita Trump yang dinyatakan secara terbuka bagi mengubah Gaza menjadi destinasi mewah berteknologi tinggi, yang digelar sebagai "Gaza Riviera." Kerangka ini merendahkan martabat pembinaan semula wilayah yang musnah, yang mempunyai hak kedaulatan iaitu Palestin, menjadi sekadar transaksi hartanah. Ia menjadikan tanah sebagai aset untuk dikomersialkan dan manusia sebagai pemboleh ubah untuk diuruskan, manakala hak, persetujuan, dan kedaulatan rakyat Palestin diketepikan sepenuhnya daripada persamaan tersebut.
Di bawah model ini, masa depan Gaza direkayasa bukan untuk penduduknya tetapi untuk golongan kaya global. Rakyat Palestin diletakkan sebagai tenaga kerja yang boleh dibuang, manakala Trump, sekutu-sekutunya, dan pelabur yang sehaluan bersedia untuk memiliki, mengawal, dan mengaut keuntungan daripada tanah, infrastruktur, dan aktiviti ekonomi.
Promosi awam Jared Kushner di Davos menjelaskan visi ini: pembangunan swasta tanpa pemilikan rakyat Palestin, pertumbuhan tanpa hak, dan pembinaan semula tanpa penentuan nasib sendiri (self-determination). Kerangka sedemikian mencerminkan corak sejarah penguasaan ekonomi kolonial dan melanggar prinsip teras undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
Lembaga Keamanan ini seterusnya cuba "membersihkan" keharaman melalui sokongan institusi. Keputusan oleh ahli-ahli Majlis Keselamatan PBB untuk menyokong badan ini mewakili kegagalan besar dalam tanggungjawab undang-undang. Tiada forum politik yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan perolehan tanah melalui kekerasan, hukuman kolektif, atau pengecualian kekal penduduk yang dijajah daripada keputusan yang melibatkan wilayah mereka. Sokongan tidak memberikan kebenaran, dan pengulangan tidak menukar tindakan yang menyalahi undang-undang menjadi hasil yang sah di sisi undang-undang.
Fungsi sebenar Lembaga ini adalah untuk menormalisasikan dan menghalalkan rampasan tanah di bawah bahasa keamanan dan pembangunan. Ini bukan penyelesaian konflik; ini adalah penjenamaan semula. Ia cuba menukar pelanggaran Konvensyen Geneva Keempat, larangan ke atas perolehan wilayah melalui kekerasan, dan hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri menjadi peluang pelaburan yang tamak dan dilindungi oleh kuasa politik.
Penyertaan oleh negara-negara tertentu dalam Lembaga Keamanan ini dilihat telah diperoleh melalui paksaan ekonomi, termasuk ancaman tarif punitif. Persetujuan yang diperoleh melalui tekanan dan tindakan balas bukannya persetujuan, ia adalah paksaan. Sebarang proses yang dibina atas paksaan seterusnya merosakkan dakwaan bahawa badan ini mewakili usaha antarabangsa yang sah atau sukarela.
Lembaga Keamanan ini dirangka, dirundingkan, dan diumumkan tanpa kehadiran, pengetahuan, atau persetujuan wakil politik Palestin, masyarakat sivil, atau komuniti yang terkesan. Keputusan mengenai tanah, ekonomi, dan masa depan Gaza dibuat di dalam bilik di mana rakyat Palestin sengaja diketepikan. Pengecualian ini sahaja sudah cukup untuk menjadikan inisiatif ini tidak sah di bawah norma antarabangsa yang mengawal penentuan nasib sendiri dan tadbir urus partisipatif.
Walaupun Lembaga ini bercakap secara abstrak mengenai "pembangunan," ia gagal menangani realiti bencana yang berlaku di lapangan. Penduduk Gaza menghadapi ketidakterjaminan yang berterusan, kekurangan makanan yang teruk, ubat-ubatan, air bersih, sanitasi, dan akses kepada pendidikan.
Sebarang inisiatif yang mengutamakan infrastruktur mewah dan pelaburan spekulatif sambil mengabaikan penderitaan massa dan keruntuhan kemanusiaan bukanlah pelan perdamaian, ia adalah pemutarbalikan moral.
Keamanan tidak boleh dipaksa melalui struktur pemilikan, pembungkaman yang dipaksa, atau pergantungan ekonomi. Ia tidak boleh dipengerusikan seumur hidup, diwarisi melalui pelantikan, atau diperdagangkan untuk akses pasaran. Keamanan sejati memerlukan keadilan, akauntabiliti, dan pengiktirafan penuh terhadap hak-hak Palestin di bawah undang-undang antarabangsa.
Kami menolak sekeras-kerasnya Lembaga Keamanan Trump dan menyifatkan ia sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang, dan berbahaya. Komuniti antarabangsa mesti enggan mengambil bahagian dalam skim yang menyamar sebagai pembangunan padahal ia adalah perampasan, dan menyamar sebagai keamanan padahal ia adalah eksploitasi.
Sebarang tindakan selain daripada ini adalah satu persongkolan.
Nurul Izzah Anwar
Pengerusi Eksekutif POLITY & Penasihat Kehormat,
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
Charles Santiago
Pengerusi Bersama,
ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR)
Chee Yoke Ling
Pengarah Eksekutif,
Third World Network (TWN)
Prof. Dr Mohd Afandi Saleh
Pengerusi,
Pure Hands Malaysia
Jismi Johari
Presiden,
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
Meenakshi Raman
Presiden,
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Mohideen Abdul Kader
Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
