
SIBU: Lembaga Pelabuhan Rajang (RPA) merekodkan prestasi mengagumkan pada tahun lepas apabila meraih keuntungan selepas cukai sebanyak RM10 juta pada akhir tahun kewangan 2022 berbanding RM4.6 juta pada 2021.
Pengurus Besar RPA Datin Helen Lim Hui Syan berkata kargo kontena yang berperanan sebagai perniagaan terasnya sejak lima tahun lepas dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 6.5 peratus, meningkat kepada 8.4 peratus antara 2019 dan 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
“Dari segi TEU (unit bersamaan 20 kaki), dalam tempoh lima tahun lepas, RPA mencatatkan purata kenaikan sebanyak 10 peratus pada setiap tahun.
“Kami juga mencapai keuntungan selepas cukai pada setiap tahun daripada RM740,000 pada 2019 kepada RM2.2 juta pada 2020, RM4.6 juta pada 2021 dan RM10 juta pada penutup tahun kewangan 2022,” katanya pada majlis makan malam tahunan RPA malam tadi.
Beliau berkata pencapaian tersebut menunjukkan keuntungan selepas cukai RPA meningkat lebih 200 peratus pada 2020, 110 peratus pada 2021 dan sekurang-kurangnya kenaikan 117 peratus pada tahun lepas.
Sementara itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk melaksanakan Kajian Pelan Induk Pelabuhan Sarawak bermula tahun ini.
Beliau berkata kajian itu bertujuan untuk menambah baik kecekapan perkhidmatan pelabuhan antaranya bagi meningkatkan keselamatan pelabuhan, keperluan peralatan dan meneroka peluang perniagaan baharu.
“Kerajaan Sarawak mengakui kepentingan pelabuhan untuk menyumbang kepada pembangunan keseluruhan di negeri ini,” katanya.-Bernama


