Lembaga pengasas Majlis Media Malaysia dimuktamadkan : Fahmi

LocalPolitics
14 Jun 2025 • 2:23 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) telah dimuktamadkan dengan dianggotai 12 individu, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

Beliau berkata, Lembaga Pengasas itu terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.

“Pihak Majlis Media Malaysia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Chieng.

Fahmi sebelum ini dilapor berkata, MMM dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini selepas selepas Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan di Parlimen Februari lalu.

MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.

Berikut adalah senarai 12 individu Lembaga Pengasas MMM

  1. Wong Yang Yong
  2. Datuk Sardahthisa James
  3. Premesh Chandran Jeyachandran
  4. Ashwad Ismail
  5. Teh Athira Yusof
  6. Ronnie Teo Teck Wei
  7. Mohd Radzi bin Abdul Razak
  8. Muthameez Manan
  9. Mohd Azmyl Md Yusof
  10. Gayathry S. Venkiteswaran
  11. Celine Lim
  12. Terence Ooi Guan Tseng

Sambutan Hawana 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat. - 14 Jun, 2025