PASIR MAS – Taktik menyeleweng penghantaran lembu sempena sambutan Aidiladha terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori yang membawa muatan haiwan ternakan tidak sepadan dengan dokumen kelulusan di Jalan Banggol Ara di sini pada Isnin.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang menerusi Op Taring Wawasan itu, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 7 PGA Kuantan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama 13 ekor lembu dan sebuah lori Isuzu berwarna ungu bernilai keseluruhan RM152,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya mendapati lori terbabit berada dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati pemandu lori mengemukakan surat kebenaran memindahkan haiwan ternakan dalam Semenanjung Malaysia yang meluluskan penghantaran 20 ekor lembu ke Kota Bharu.
**media[3533141]**
"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati hanya 13 ekor lembu berada dalam lori berkenaan.
"Ini menimbulkan keraguan apabila tujuh ekor lembu dipercayai telah dihantar ke lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam dokumen kelulusan pergerakan haiwan ternakan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Ujar beliau, suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa diarahkan majikannya untuk menghantar lembu terbabit ke Kota Bharu bagi memenuhi permintaan tinggi sempena Aidiladha.
"Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan haiwan ternakan wajib dihantar ke lokasi seperti yang tercatat dalam borang kelulusan dan menjadi satu kesalahan sekiranya dipindahkan ke lokasi lain tanpa kebenaran," katanya.
Menurut beliau, lori serta 13 ekor lembu itu telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, pemantauan dan pemeriksaan di Kawasan Tanggungjawab Jeram Perdah akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan serta penyelewengan melibatkan haiwan ternakan menjelang musim perayaan.



