

Selepas hampir enam bulan ditutup akibat tragedi tanah runtuh pada Disember tahun lalu, laluan penting yang menghubungkan Gua Musang dan Lojing akhirnya kembali 'bernafas'.
Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bahawa laluan lencongan sementara di FT185 Seksyen 107.60 (Kilometer 45) dekat Pos Blau telah dibuka sepenuhnya kepada SEMUA jenis kenderaan bermula jam 5:00 petang ini (21 Mei).
Pembukaan ini pastinya melegakan ribuan pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang sering berulang-alik menggunakan laluan alternatif Pantai Timur ke pusat peranginan Cameron Highlands.
Pandu Perlahan: Kerja Pembaikan Cerun Masih BerjalanWalaupun jalan sudah dibuka, JKR mengeluarkan amaran keras agar pemandu tidak terlalu 'teruja' sehingga mengabaikan keselamatan.
Oleh kerana status laluan ini masih dalam fasa pemulihan, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi perkara berikut:
Kurangkan Had Laju: Sila perlahankan kenderaan sebaik sahaja menghampiri kawasan lencongan Pos Blau.
Sentiasa Berwaspada: Kerja-kerja pembaikan cerun yang runtuh masih lagi giat dijalankan di sebelah laluan tersebut.
Patuhi Arahan Trafik: Sentiasa peka dengan papan tanda amaran dan arahan petugas di tapak.
“Pengguna jalan raya juga perlu mengurangkan had laju dan sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan tersebut. Langkah berjaga-jaga itu penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” kata JKR.
Kronologi Ringkas KejadianSebagai rekod, laluan utama Gua Musang-Lojing ini terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua trafik sejak 3 Disember tahun lalu selepas kejadian runtuhan tanah berskala besar yang menjejaskan struktur jalan, sebelum pembukaan lencongan sementara ini dijadualkan semula pada hari ini, 21 Mei.
