Lengahkan Permohonan Kerakyatan Anak Lahir Luar Negara, JPN Ingkar Perintah Mahkamah?

27 Jun 2022 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rachel Ng kecewa kerana isu itu berlarutan meskipun beliau sudah bertahun-tahun memohon bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk anaknya. - Gambar dari Twitter Rachel Ng #sayaJUGAanakMalaysia

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepatutnya menyelesaikan pada kadar segera permohonan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi.

Pakar Undang-Undang (Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak) Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, JPN bagaimanapun dilihat melengah-lengahkan permohonan tersebut kerana beranggapan perintah itu hanyalah keputusan Mahkamah Tinggi.

Katanya, kegagalan JPN dalam mematuhi keputusan tersebut boleh dianggap sebagai mengingkari perintah mahkamah. 

“Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ibu boleh mewariskan kewarganegaraannya kepada anak-anak walaupun mereka lahir di luar negara. Mahkamah telahpun memerintahkan JPN mengambil tindakan. 

“Kerajaan merayu ke Mahkamah Rayuan dan sedang menunggu keputusan tersebut. JPN seperti melengah-lengahkan tindakan kerana merasakan ia hanya keputusan Mahkamah Tinggi. Sebenarnya JPN telah menghina mahkamah. Mereka mesti bertindak atas perintah tersebut,” katanya kepada Getaran.

image is not available
Noor Aziah Mohd Awal

Menurut beliau, kanak-kanak terbabit wajar diberi peluang untuk mendapatkan hak kerakyatan Malaysia berdasarkan prinsip hak asasi kanak-kanak.

“Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), hak untuk mendapatkan kerakyatan adalah hak kanak-kanak. Ia tidak boleh dinafikan.

“Menurut Perkara 7 CRC, setiap kanak-kanak berhak kepada nama dan kewarganegaraan. Kanak-kanak juga tidak boleh didiskriminasi menurut Perkara 2 CRC. Dalam hal ini, kanak-kanak terbabit didiskriminasi atas sebab tempat kelahiran dan gender (ibu),” katanya.

Susulan itu beliau berkata, masalah yang timbul itu boleh diselesaikan sekiranya peruntukan dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara 14 (Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang) dipinda atau dimansuhkan.

“Sebenarnya kerajaan boleh membantu dengan membuat perubahan secara pentadbiran. Cara terbaik ialah dengan meminda atau memansuhkan peruntukan dalam Perkara 14 dan Jadual Kedua. 

“Kerajaan juga perlu membawa pindaan terhadap Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara 14 untuk dibahaskan semasa sesi Dewan Rakyat yang akan datang.

Perkara 14 (1) (a) juga bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan di mana ia adalah diskriminasi gender,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati ibu-ibu yang terlibat supaya terus berusaha memperjuangkan keadilan untuk anak-anak mereka.

“Mereka jangan berputus-asa. Sebagai ibu mereka sepatutnya berhak mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak.

“Namun proses itu rumit kerana ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mereka daripada berbuat demikian,” katanya.

image is not available
Syahredzan Johan

Sementara itu, peguam, Syahredzan Johan berkata, Pejabat Peguam Negara seharusnya memberi nasihat kepada JPN untuk memproses permohonan kewarganegaraan kanak-kanak terbabit dengan secepat mungkin kerana terdapatnya perintah Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa anak-anak ini berhak didaftarkan sebagai warganegara.

“Walaupun rayuan kerajaan masih belum dilupuskan, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan untuk menggantung perintah Mahkamah Tinggi. Ini sudah menjadi suatu duluan (precedent) yang mengikat,” katanya.

Beliau turut bersetuju pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan disegerakan kerana ia langkah terbaik untuk menangani masalah tersebut.

“Adalah penting membentangkan suatu pindaan Perlembagaan yang dengan jelas mengiktiraf kewarganegaraan anak-anak dalam situasi ini supaya tidak ada keraguan mengenainya.

“Di Dewan Rakyat ia boleh dibahaskan dan sekiranya mendapat sokongan yang mencukupi, akan memberi suatu penyelesaian yang tuntas mengenai isu tersebut,” katanya.

Terdahulu Getaran melaporkan, sekumpulan ibu meluahkan kekecewaan terhadap permohonan anak-anak mereka suntuk mendapatkan kerakyatan Malaysia sejak bertahun lamanya masih menjadi teka-teki sehingga hari ini.

Seorang daripada ibu berkenaan, Rachel Ng, mendakwa anaknya trauma dan mengalami kemurungan disebabkan masalah yang masih berlarutan sejak lapan tahun lalu.

“Ramai orang termasuk kerajaan kita sendiri nampaknya tidak menyedari kanak-kanak ini benar-benar menderita.

“Kerajaan bertindak seolah-olah kanak-kanak ini tidak wujud (atau lebih teruk lagi mereka menjadi ancaman negara),” katanya.

Pada 22 Jun lalu, media melaporkan keputusan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik ditetapkan semula pada 5 Ogos.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan akan menyampaikan keputusan mereka di mahkamah terbuka.

Hakim Kamaludin mencadangkan agar keputusan itu disampaikan di mahkamah terbuka dan bukannya dalam talian bagi membolehkan ia diikuti peguam pemerhati dan media. - Getaran, 27 Jun 2022