IPOH – Nama Lenggong kini bergema di pentas antarabangsa apabila kawasan tersebut secara rasmi diiktiraf sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengiktirafan tersebut diterima Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad daripada Ketua Seksyen Sains Bumi dan Pengurangan Risiko Geobahaya UNESCO merangkap Setiausaha Program Geosains dan Geopark Antarabangsa, Kristof Vandenberghe di Ibu pejabat UNESCO, Paris, Perancis pada Isnin.
Turut serta dalam menerima pengiktirafan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hasan; Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong (MDL), Mohd Amzari Mohd Arzami dan Setiausaha MDL, Muhammad Khairul Ameer Abbas.
Menerusi hantaran di Facebook, Saarani berkata, pengiktirafan berprestij itu meletakkan Lenggong sebaris dengan geopark terkemuka dunia sekali gus mengangkat lagi profil daerah berkenaan sebagai destinasi arkeopelancongan bertaraf global.
Menurutnya, kejayaan tersebut dilihat amat bermakna memandangkan persaingan sengit daripada pelbagai negara yang turut berusaha mendapatkan pengiktirafan sama namun Lenggong berjaya menonjolkan keunikan warisan geologi, arkeologi dan budaya yang dimilikinya.
"Lebih membanggakan, Lenggong turut telah menerima status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 menjadikan Lenggong antara kawasan yang menerima dua status bertaraf antarabangsa.
"Semoga pengiktirafan ini akan terus memacu Lenggong sebagai destinasi arkeopelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu melimpahkan lebih banyak nikmat dan manfaat kepada rakyat dan ekonomi setempat," katanya pada Selasa.
Saarani berkata, pengiktirafan terbaharu itu adalah hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark dalam memelihara serta mempromosikan khazanah semula jadi dan sejarah kawasan tersebut.

