Lenovo Legion Go Kini Di Malaysia Pada Harga RM3,999

TechnologyDigital
7 Dec 2023 • 11:22 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lenovo Legion Go adalah sebuah konsol mudah alih yang menjalankan sistem operasi Windows 11. Dua bulan lalu, laman web Lenovo Malaysia menyenaraikan Legion Go pada harga RM3,099 untuk dua model – kemudian terus dibuang. Hari ini, akhirnya mereka mula menyenaraikan secara rasmi dan terhad untuk satu model sahaja, ia berharga RM3,999.

Legion Go dijana dengan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme dengan GPU AMD RDNA yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1TB PCIe Gen4 SSD. Untuk skrin, konsol ini menggunakan panel LCD bersaiz 8.8-inch QHD+ dengan nisbah paparan 16:10 dan sokongan kadar segar semula 144Hz. Bateri berkapasiti 49.2Wh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas Super Rapid Charge.

image is not available

Konsol ini turut mempunyai ciri seakan Nintendo Switch, di mana alat kawalan di kiri dan kanan boleh ditanggalkan. Alat kawalan ini diberi nama sebagai TrueStrike dan turut boleh berubah menjadi tetikus FPS untuk permainan video tertentu. Aplikasi Legion Space turut tersedia sebagai hab permainan video untuk akses pantas serta melakukan tetapan khas untuk pengalaman bermain terbaik.

image is not available

Lenovo Malaysia turut mengacah yang Lenovo Legion Glass iaitu kaca mata AR USB-C dengan skrin mikroOLED FHD 60Hz akan dijual, tetapi tiada harga lagi buat masa ini. Lenovo Legion Go hanya ada satu varian iaitu 16/1000 GB pada harga RM3,999. Sempena jualan kali pertama, Lenovo menawarkan pelindung skrin bernilai RM109 secara percuma dan juga belian-dengan-belian set fon telinga Legion E510 7.1 RGB pada harga RM249 berbanding harga pasaran RM389.