Lenovo mempunyai jenama gaming mereka sendiri melalui Legion, tetapi syarikat perkomputeran tersebut nampaknya membangunkan sebuah siri gaming dibawah nama mereka sendiri dengan pengenalan siri komputer gaming Lenovo LOQ.

Siri gaming Lenovo LOQ (disebut sebagai Lock) ini terdiri daripada siri komputer riba dan juga komputer desktop gaming yang hadir dengan komponen-komponen kelas pertengahan yang masih lagi mampu menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan tetapan yang memberikan pengguna pengalaman gaming yang mendalam.
Siri komputer riba Lenovo LOQ terdiri daripada dua buah komputer riba dan satu komputer desktop yang dikuasakan oleh cip-cip pemprosesan AMD dan Intel dan juga kad grafik dari NVIDIA.

Siri komputer riba ini termasuklah Lenovo LOQ 16 dan Lenovo LOQ 15 dan hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 dan 15 inci dengan resolusi 2560×1600 dan 2560×1440 dan kadar segar semula 165Hz.
Kedua-dua komputer riba ini juga dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7840HS dan Intel Core i7-13700H bersama-sama memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan PCIe 4.0 sehingga 1TB.
Dari segi penawaran GPU pula, komputer-komputer riba ini merumahkan kad grafik NVIDIA terbaru sehingga NVIDIA GeForce RTX 4060 yang boleh menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan tetapan grafik yang memuaskan.

Lenovo LOQ Tower 17IRB8 pula ialah komputer desktop gaming kelas pertengahan juga, dengan rangka komputer sebesar 17 liter yang dikuasakan CPU Intel Core i7-13700, pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan storan dalaman SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB dan cakera keras sehingga 2TB.

Dari segi penawaran pula, komputer Lenovo LOQ Tower ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000, tetapi tidak mengkhususkan apakah pilihan yang boleh didapati pengguna setakat ini.
Sama seperti siri Lenovo Legion Slim yang dikemaskini sebelum ini, Lenovo Malaysia juga masih belum mengesahkan bilakah siri komputer Lenovo LOQ ini akan diperkenalkan di pasaran tempatan.

