Beberapa bulan lalu, kami ada mengesahkan kewujudan konsol Lenovo Legion Go S yang dijangka akan diperkenalkan di acara CES 2025 pada bulan Januari kelak untuk pasaran peranti gaming lebih mampu milik.
Sebelum ini rangka konsol tersebut telah diperlihatkan, tetapi kini nampaknya pihak Lenovo sendiri telah meniriskan kewujudan konsol tersebut melalui pautan memuat-turun kemaskini BIOS, dengan nama model Lenovo Legion Go S 8ARP1 tertera.

Terdapat mereka yang sempat memuat-turun perisian kemaskini tersebut untuk menelaah spesifikasi konsol ini, dan mereka nampaknya mengesahkan bahawa Lenovo Legion Go S ini akan menggunakan cip pemprosesan APU AMD Rembrandt yang menggabungkan cip pemprosesan AMD Zen 3+ dan cip grafik RDNA 2.

Untuk kemaskini konsol yang akan diperkenalkan kelak, ia diketahui umum bahawa AMD dijangka akan memperlihatkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 yang mungkin terdiri daripada AMD Ryzen Z2 Extreme, AMD Ryzen Z2 dan AMD Ryzen Z2G. Ia dijangka bahawa Lenovo Legion Go S ini akan menggunakan AMD Ryzen Z2G.
Dari segi rekaan konsol, ia dikatakan bahawa Legion Go S akan hadir dengan alat kawalan yang dipasang secara terus pada konsol, dan tidak boleh dicabut, tidak seperti Lenovo Legion Go yang asal.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, Lenovo dijangka akan memperkenalkan model-model Legion Go baharu sewaktu acara CES 2025 kelak.
