
Lenovo Tab Plus Gen 2 kini memasuki pasaran Malaysia dengan sejumlah penambahbaikan berbanding generasi terdahulu. Antara tarikan utama termasuk cip MediaTek Dimensity 7400 lebih berkuasa, skrin LCD 12.1 inci beresolusi 2.5K dengan kadar segar semula 120Hz, sistem audio JBL serta bateri berkapasiti besar.

Lenovo Tab Plus Gen 2 dilengkapi dengan skrin LCD 12.1″ beresolusi 2.5K, kadar segar semula 120Hz, sokongan Dolby Vision dan HDR10, serta tahap kecerahan sehingga 800 nits. Ia turut hadir dengan penyokong (kickstand) yang boleh diputar penuh 360 darjah. Dengan keupayaan ini, pengguna boleh memilih pelbagai posisi tontonan sekali gus membolehkan tablet digunakan dengan lebih bebas sama ada dalam kedudukan menegak atau mendatar.

Tablet ini turut menawarkan sistem audio JBL dengan sembilan unit pembesar suara yang disertakan sokongan Dolby Atmos serta Dolby Audio. Selain itu, ia hadir dengan mod pembesar suara Bluetooth yang membolehkan tablet berfungsi sebagai pembesar suara kendiri untuk penstriman audio daripada peranti lain.

Tunjang utamanya pula dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 7400 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM serta storan 256GB (dengan sokongan kad microSD boleh dikembangkan sehingga 2TB). Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kamera utama 13MP bersama kamera hadapan beresolusi 8MP untuk swafoto.
Bateri berkapasiti 10,200mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W turut disediakan dengan kepala pengecas USB-C 68W ditawarkan sebagai aksesori pilihan. Selain itu, tablet ini juga serasi dengan Lenovo Tab Pen Plus, papan kekunci nirwayar Lenovo dan beg khas untuk memudahkan dibawa ke mana-mana.

Tidak ketinggalan, Lenovo Tab Plus Gen 2 turut mengintegrasikan ciri berasaskan AI seperti Lenovo AI Live Transcript untuk terjemahan masa nyata, Lenovo Smarter Reader bagi pengalaman membaca yang lebih baik, serta AI Notes dengan Lenovo Notepad untuk catatan nota yang lebih teratur. Tablet ini akan mula ditawarkan di Malaysia bermula September 2026 dengan harga bermula RM2,099.

