Siri komputer workstation Lenovo ThinkStation merupakan komputer desktop yang tampil dengan komponen-komponen berkuasa yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis tugasan industri seperti rekaan CAD (Computer Aided Design) untuk olahan objek 3D, suntingan dan olahan video beresolusi tinggi, penyelidikan sains dan perubatan menggunakan sampel data yang banyak dan lain-lain lagi.
Terkini, Lenovo Malaysia nampaknya telah memperkenalkan penawaran terbaru mereka dalam siri ini, iaitu Lenovo ThinkStation P4 untuk pasaran tempatan. Model komputer riba ini secara teknikalnya telahpun dilancarkan pada pertengahan tahun ini secara global, tetapi hanya ditawarkan di pasaran tempatan baru-baru ini.

Komputer desktop ini hadir dengan rangka bersaiz 29.9L dan dimuatkan dengan komponen berkuasa AMD Ryzen 9000 Pro, dari pilihan AMD Ryzen 5 PRO 9655 sehinggalah AMD Ryzen 9 PRO 9965X3D. Penggunaan papan induk dan cip pemprosesan ini bermakna bahawa komputer ini hadir dengan sokongan konfigurasi quad-channel memory ataupun memori empat saluran, dimana pengguna boleh memilih penawaran memori DDR4 64GB (4x8GB) sehingga 256GB (4x64GB).

Komputer ThinkStation P4 ini juga boleh merumahkan konfigurasi tiga storan SSD M.2 PCIe 4.0 sehingga 12TB (3x4TB) dan dua cakera keras dalam konfigurasi 2x12TB, memberikan komputer ini kapasiti storan sebanyak 36TB.

Satu kelainan yang diperlihatkan pada konfigurasi tempatan ialah penawaran kad grafik yang ditawarkan. Apabila komputer ini diumumkan secara global, pihak Lenovo mengatakan bahawa ia akan hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA RTX Pro 6000, tetapi apabila melihat kepada penawaran tempatan, Lenovo Malaysia hanya dapat menawarkan pilihan kad grafik NVIDIA RTX Pro 5000 dengan 72GB memori GDDR7.

Dalam konfigurasi paling berkuasa dengan semua komponen paling berkuasa dan kapasiti paling besar, yang termasuklah CPU AMD Ryzen PRO 9 9965X3D, tiga SSD PCIe 4.0 4TB, dua cakera keras 12TB dan kad grafik NVIDIA RTX Pro 5000 dengan 72GB memori GDDR7, jumlah keseluruhan konfigurasi ini diperlihatkan sekitar RM116,000.
Jika anda atau syarikat anda berminat untuk mendapatkan komputer ini, anda boleh ke laman web Lenovo Malaysia untuk membina sendiri konfigurasi yang anda perlukan sekarang.
Sumber: Lenovo Malaysia
