Komputer riba dengan dwi-skrin akhirnya ditawarkan ke pasaran Malaysia hari ini. Ia adalah kemuncak teknologi dwi-skrin siri Yoga Book yang sudah wujud sejak 2016. Keunikan Yoga Book 9i ialah dwi skrin OLED yang apabila dibuka boleh digunakan secara menegak atau mendatar dengan sokongan sentuhan.

Rekaan masih lagi sama apabila dalam kedudukan tertutup. Apabila dibuka ia boleh digunakan seperti komputer riba biasa – satu skrin memaparkan kandungan dan satu lagi skrin menjadi papan kekunci.

Model tahun ini lebih fleksibel dengan ia turut boleh digunakan sebagai komputer riba gergasi atau komputer riba dwi-skrin dalam kedudukan menegak. Dalam kedudukan terbuka sepenuhnya skrin adalah sebesar 13.3” 2.8K yang menyokong paparan Dolby Vision.
Ia dijana cip Intel Core i7-U15, memori 16GB LPDDR5X, storan 1TB PCle SSD Gen4 dan bateri 80Wh. Kerana ia boleh digunakan sebagai sebuah tablet, sokongan stylus juga disertakan.

Skrin boleh dilipat sehingga 360 darjah untuk digunakan dalam mod tablet sepenuhnya. Komputer riba unik ini akan menggunakan sistem operasi WIndows 11. Setiap Yoga Book 9i hadir dengan penutup yang boleh dilipat seperti origami untuk menjadi tempat komputer riba ini disandarkan apabila dibuka.

Sebuah papan kekunci fizikal kemudian boleh ditambat kepada komputer riba ini bagi mereka yang masih belum selesa menaip pada skrin sesentuh. Penutup yang sama mempunyai tempat simpanan stylus terbina. Pada waktu yang sama sebuah speaker terbina dalam engsel menyerupai yang digunakan pada Yoga C930.

Lenovo Yoga Book 9i ditawarkan di Malaysia pada harga RM9499 sebuah menerusi stor rasmi Lenovo, Lazada, dan Shopee.
