Lepak LTSIP Pengkalan Chepa, 'deghak' malam minggu

12 Apr 2026 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lepak LTSIP Pengkalan Chepa, 'deghak' malam minggu
'Deghak' atau jalan malam minggu menjadi alasan utama yang digunakan oleh pemilik motosikal dan kereta yang diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan di balai perlepasan terminal baharu serta sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Image from: Lepak LTSIP Pengkalan Chepa, 'deghak' malam minggu
Mohd Misuari (dua,kiri) turut sama dalam operasi bersepadu melibatkan JPJ dan JSPT Kelantan di balai perlepasan terminal baharu serta sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Jumaat malam.

KOTA BHARU – 'Deghak' atau jalan malam minggu menjadi alasan utama yang digunakan oleh pemilik motosikal dan kereta yang diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan di balai perlepasan terminal baharu serta sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 14 motosikal dan dua kereta disita sepanjang operasi yang dijalankan dari jam 4 petang hingga 2 pagi pada Jumaat.

"Kesemua kenderaan diperiksa di hadapan balai perlepasan, ketibaan serta sekitar LTSIP Pengkalan Chepa.

"Kami menggunakan elemen penyamaran bagi memastikan operasi ini berjaya dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan susulan kegiatan menduga kelajuan serta aktiviti kumpulan motosikal dan kereta yang dipercayai menjalankan aktiviti rempit di sekitar kawasan berkenaan.

Ujarnya, sepanjang operasi, sebanyak 205 kenderaan diperiksa dengan 132 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Tambah beliau, sebanyak 171 notis dikeluarkan dan seramai 12 individu menjalani saringan air kencing, namun semuanya didapati negatif.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada Khamis, Jumaat dan Sabtu antara jam 7 hingga 10 malam mendapati kawasan hadapan balai perlepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa lengang tanpa kehadiran individu yang melepak.

Kenderaan yang kelihatan hanyalah yang datang menghantar penumpang menaiki kapal terbang.

Bagaimanapun, pada Jumaat antara jam 8 hingga 10 malam, beberapa motosikal dilihat melalui kawasan tersebut seolah-olah membuat tinjauan.

Terdapat juga empat motosikal yang berhenti di sekitar kawasan ketibaan untuk mengambil gambar dan berswafoto sebelum beredar.

Turut kelihatan ialah unit kereta peronda polis (MPV) dan JPJ melakukan rondaan secara berkala.

Sementara itu, seorang petugas keselamatan yang mahu dikenali sebagai Fattah, 40, berkata, keadaan di sekitar LTSIP Pengkalan Chepa kini kembali tenang tanpa kehadiran kumpulan rempit.

"Ada yang hanya lalu seperti memeriksa kawasan, namun tidak berhenti untuk melepak.

"Saya berharap keadaan ini berkekalan dan LTSIP Pengkalan Chepa bebas daripada aktiviti mat rempit," katanya.

Terdahulu tindakan sekumpulan 'mat rempit' yang berhimpun di LTSIP Pengkalan Chepa sebagaimana tular sebelum ini menimbul kritikan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Hal ini kerana ada yang berpandangan tindakan itu mencemarkan nama Kelantan.