Lepak Minum Cara Eizlan Yusof Dekati Masyarakat Sabak Bernam

11 Nov 2022 • 8:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Eizlan Yusof ketika sesi 'Walkabout' sekitar Sabak Bernam. - Gambar ihsan Syamsah Photography

Dato Sri Eizlan Yusof, 51, memilih cara ‘lepak minum’ menyantuni dan mendekati masyarakat berbanding mengadakan ceramah, syarahan dan seumpamanya di Parlimen Sabak Bernam.

“Sejak nama saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Sabak Bernam, perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah mengenali hati budi dan mendengar sendiri luahan masyarakat di sini.

“Tambahan pula saya tidak mahu menyusahkan masyarakat terutama pihak berkuasa tempatan yang saya faham bertungkus lumus memastikan proses berkempen sempena PRU-15 di sini berjalan lancar.

“Saya akui, saya tak banyak masa untuk berkempen secara besar-besaran seperti mana calon-calon lain yang bertanding tapi saya ada pendekatan saya sendiri,” kata beliau.

image is not available
Eizlan melakukan ‘walk-about’ di Pasar Pagi Parit Baru. - Gambar Syamsah Photography

Menurut Eizlan, pendekatan yang dilakukan sejak hampir seminggu berkampung di Sabak Bernam, mendedahkan beliau dengan isu dan permasalahan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Antaranya isu jambatan menghubungkan Sungai Air Tawar dan Hutan Melintang, isu rangkaian internet, isu hasil pertanian, isu anak muda dan banyak lagi.

“Semua isu itu saya dengar sendiri daripada mereka. Seolah-olah saya sudah bergelar YB Sabak Bernam.

“Saya orang yang bekerja, bukan ahli politik. Jika menang di sini, saya mahu bawa semua isu dan permasalahan diluahkan masyarakat Sabak Bernam ke peringkat Parlimen,” katanya.

image is not available
Eizlan bertemu pelanggang di Ley Park Station (Cabin Contena Food Court), Sabak Bernam. - Syamsah Photography

Malah, Eizlan mahu menubuhkan Jawatan Kuasa Komuniti Parlimen Sabak Bernam yang ahli-ahlinya terdiri daripada warga di sini untuk mengenalpasti isu-isu dan permasalahan setempat.

Menurutnya, kaedah ini lebih bersesuaian kerana setiap isu dan permasalahan dapat diperkemaskan, sekali gus dibawa ke parlimen untuk dibahas dan diperjuangkan.

Menyentuh isu anak muda, beliau kagum kerana ramai anak muda sangat rajin melakukan pelbagai usaha dan aktiviti ekonomi.

Ini terbukti pada sesi menyantuni masyarakat, beliau bertemu dengan golongan remaja dan belia yang bukan saja aktif dalam bisnes makanan dan perkhidmatan, malah berkaitan ekonomi digital.

image is not available
Eizlan bersama golongan remaja dan belia Sabak Bernam. - Syamsah Photography

Eizlan yang juga Calon No. 1, P.092 Sabak Bernam, mewakili GTA - Parti Pejuang, bakal bertanding empat penjuru menentang calon PN, Kalam Sahlan; calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma'arif Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri.- Getaran, 11 November 2022