
PETALING JAYA – Misi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membawa suara Malaysia ke pentas global diteruskan menerusi penyertaan dalam Sidang Kemuncak APEC 2026 yang dijadualkan berlangsung di Shenzhen, China.
Anwar dalam satu kenyataan di Facebook berkata, penyertaan Malaysia dalam sidang itu bagi bertujuan memperkukuh usaha perdagangan dan pelaburan serantau selain memperluas kerjasama ekonomi global.
“Saya telah tiba di Shenzhen, Republik Rakyat China pada tengah malam tadi dari Manila.
“Saya di sini sebagai membawa misi negara di Sidang Kemuncak APEC 2026 yang antaranya akan memperkukuh usaha perdagangan dan pelaburan serantau, memperluas kerjasama dalam ekonomi digital serta memastikan perusahaan kecil dan sederhana turut meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik,” katanya hari ini.
Anwar berkata, dalam suasana ekonomi dunia yang kian mencabar, Malaysia akan terus mendukung perdagangan terbuka, adil dan berlandaskan hukum dan peraturan.
“Kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaaan yang lebih baik, ruang yang lebih luas bagi usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan taraf hidup yang lebih baik buat rakyat,” katanya.
Semalam, Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyantuni Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Di sebalik jadual padat lawatan rasmi ke Malaysia, Macron turut berpeluang menikmati suasana ibu kota apabila dibawa Anwar bersiar-siar di sekitar kawasan Petaling Street di ibu negara.
Dalam kunjungan santai kira-kira 30 minit itu, Anwar dan Macron berjalan kaki menyusuri deretan kedai sambil meninjau aktiviti perniagaan serta suasana di kawasan yang menjadi antara tumpuan pelancong di ibu negara.
Kedua-dua pemimpin turut melawat Tokong Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, dua rumah ibadat bersejarah yang terletak berhampiran antara satu sama lain di Jalan Tun H.S Lee.
Pada sebelah petang, Anwar kemudiannya terbang kembali ke Manila bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat sebelum ke Shenzhen untuk Sidang Kemuncak APEC 2026. – KOSMO! ONLINE
The post Lepas jumpa Macron, Anwar ke Shenzhen misi APEC 2026 appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Trump, Putin, Xi Jinping rakam gambar bersejarah di APEC](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-18-at-9.34.17-PM-1024x682.jpeg)
