
PEMERGIAN cahaya mata ujian berat buat ibu bapa. Bukan mudah anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dan dibesarkan tiada sekelip mata.
Demikian ujian yang perlu dihadapi keluarga Allahyarham Nur Khalishah Zahra, 11 tahun yang pergi selamanya tanpa sebarang petanda atau masalah kesihatan serius.
Menurut pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi kisah berkenaan di Facebook, anak bongsu perempuan tunggal yang mesra dipanggil 'Ayang' itu sebelum itu hanya mengalami demam biasa.
Allahyarham dikatakan hanya mengalami demam yang tidak serius, disertai batuk. Malah selera makan juga masih seperti biasa. Namun dalam tempoh tidak sampai dua jam puteri kesayangan keluarga itu pergi buat selama-lamanya.
"Pada 19 April sekitar jam 1.30 petang, keadaan kesihatan Ayang tiba-tiba merosot apabila dia menjadi lemah dan mengalami muntah-muntah.
Ibu bapanya segera membawanya ke sebuah klinik di Sungai Kapar Indah dengan menaiki kereta.
"Setibanya di hadapan klinik, Ayang dilaporkan muntah dengan teruk sebelum tidak sedarkan diri.
"Doktor yang bertugas segera memberikan bantuan awal resusitasi kardiopulmonari (CPR) setelah mendapati denyutan jantungnya semakin lemah.
"Pada masa yang sama, pihak klinik menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan untuk membawa Ayang ke hospital.

"Tidak lama kemudian, ambulans tiba bersama pegawai perubatan yang turut memberikan CPR sebelum membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Setibanya di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak, segala usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan Ayang. Namun, Ayang disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 petang," kongsinya.
Pengurusan jenazah anak bongsu itu dilakukan sejurus selesai prosedur hospital. Pemergian kanak-kanak tersebut diziarahi rakan dan guru-guru. Paling menyentuh hati, abang sulungnya sebak dan menitiskan air mata semasa membacakan doa.
"Disebabkan kematiannya yang mengejut, jenazah perlu melalui prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan tidak dapat dituntut pada malam tadi.
"Jenazah kemudian dibawa ke jabatan forensik untuk proses bedah siasat yang bermula pada jam 9.00 pagi tadi.
"Proses bedah siasat selesai sekitar jam 12.40 tengah hari sebelum dituntut oleh Pihak UKVJ HQ. Jenazah telah dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus di Batu Belah, Klang bagi tujuan disempurnakan.
"Ibu bapa dan tiga orang adik-beradik Ayang turut diberi peluang dan tunjuk ajar sepanjang pengurusan mandi dan kafan jenazah dilakukan. Proses tersebut disempurnakan oleh tiga orang bilal muslimah UKVJ HQ dengan jenazah disantuni seperti anak mereka sendiri.
"Pihak kami turut memberi ruang dan peluang kepada keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Ayang. Jenazah kemudian disolatkan dengan diimamkan oleh abang sulungnya sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Perepat, Kapar.
"Suasana pilu menyelubungi ketika jenazah dibawa masuk ke rumah untuk penghormatan terakhir. Rakan-rakan persekolahan danguru dari Sekolah Kebangsaan Sementa yang hadir tidak dapat menahan kesedihan ketika memberikan ciuman terakhir di wajah Ayang," titipnya.
Artikel penuh:

Difahamkan, jenazah disembahyangkan sekali lagi di perkarangan rumah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Perepat, Kapar dan pengebumian disempurnakan pada jam 5.30 petang.
Menurut Wan Chai, kehilangan kanak-kanak itu memberikan kesan kepada orang-orang tersayang terutama bapa tersayang.
"Kehilangan Ayang meninggalkan luka yang amat mendalam buat si bapa. Anak yang begitu rapat dan manja dengannya kini telah pergi meninggalkan kenangan yang sukar untuk dipadam.
"Berulang kali si bapa menyatakan bahawa Ayang adalah seorang anak yang baik. Pemergian Ayang bukan sahaja meragut kebahagiaan seorang ayah, malah mengosongkan ruang yang tidak mungkin dapat diganti.
"Paling meruntun jiwa apabila si bapa mengingati kata-kata terakhir Ayang “Lepas ni Ayang dah tak main bola tampar dah.” Kata-kata itu, yang pada awalnya mungkin kedengaran biasa, rupa-rupanya menjadi petanda perpisahan yang abadi.
"Ayang yang dikenali sebagai seorang pelajar aktif dalam bidang sukan. Sepatutnya hari ini Ayang terlibat dengan pertandingan bola tampar bersama rakan sepasukan. Tetapi, jasadnya kaku tidak berteman.
"Sesungguhnya, pemergian Ayang bukan sekadar kehilangan seorang anak, tetapi juga hilangnya sinar dalam sebuah keluarga yang amat menyayanginya. Kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan, walau jasadnya telah pergi meninggalkan dunia," kongsinya lagi.
Hantaran Wan Chai mengenai Nur Khalishah Zahra turut menerima ucapan takziah daripada warganet.
Sumber: Facebook
