
KUALA LUMPUR: Pasukan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1) (SKTTDI 1), Les Chanteurs, sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila meraih tiga pingat emas dan gelaran Juara Kategori pada Malaysian Choral Eisteddfod–International Choir Festival (MCE-ICF) 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos lalu.
Kejayaan itu menyaksikan Les Chanteurs meneruskan dominasi di pentas berprestij berkenaan apabila mencatat pencapaian cemerlang untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mengharumkan nama sekolah dan negara di arena koir antarabangsa.
Pada edisi kali ini, Les Chanteurs mempertaruhkan dua pasukan iaitu senior dan junior yang bersaing dalam tiga kategori berbeza, dengan masing-masing menampilkan persembahan bertenaga serta identiti tersendiri yang berjaya memikat hati juri.
Pasukan senior yang dipimpin konduktor, Azahar Abdullah menyertai kategori Children’s Choir (Championship) dan Pop Vocal Ensemble, manakala pasukan junior bertanding dalam kategori Young Children’s Choir (Open).
Azahar berkata, pencapaian tahun ini amat bermakna kerana Les Chanteurs Senior bukan sahaja berjaya mempertahankan kecemerlangan dalam kategori Children’s Choir, malah muncul juara kategori Pop Vocal Ensemble menerusi persembahan lagu Believer dan Jiwa Muda.
“Bagi kategori Pop Vocal Ensemble, ini merupakan kali kedua Les Chanteurs Senior menyertainya. Syukur tahun ini kami berjaya meraih kemenangan emas dan Juara Kategori dengan taruhan lagu ‘Believer’ serta ‘Jiwa Muda’. Tahun lalu kami meraih emas, malah turut mendapat anugerah khas iaitu Outstanding Malaysian Choir Award.
“Malah sebagai juara kategori kami berjaya ke Grand Prix bersama pemenang kategori yang lain dan pencapaian ini amat bermakna buat saya kerana ia bukan sahaja mengiktiraf usaha dan komitmen murid, malah membuktikan bahawa kerja keras yang dilakukan sepanjang proses latihan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Tambah Azahar, pasukan senior turut meraih emas dalam kategori Children’s Choir buat tahun ketiga berturut-turut menerusi persembahan lagu Singkap Siaga dan Nara yang menampilkan elemen lebih dinamik serta mencabar.
“Saya gembira melihat perkembangan mereka daripada sebuah kumpulan yang sedang belajar untuk menjadi satu suara, kepada sebuah kumpulan besar yang mampu berdiri bersama,” ujarnya.

Sementara itu, pasukan junior di bawah bimbingan konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin turut mencuri tumpuan apabila meraih emas sulung dalam kategori Young Children’s Choir (Open) menerusi lagu Whisper dan Malaysia Merdeka.
Kejayaan itu memperbaiki pencapaian dua edisi terdahulu apabila mereka hanya membawa pulang pingat perak pada tahun 2024 dan 2025.
“Tahun ini ialah tahun ketiga kami sertai MCE dan akhirnya pasukan junior meraih emas sulung di MCE, justeru ingin saya tekankan, usia bukan penghalang untuk anak-anak kecil ini mencapai sesuatu yang hebat.
“Ribuan terima kasih kepada semua murid, ibu bapa, dan sudah tentunya kepada guru pembimbing, terutamanya Adlia Syazanna Abas, yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan.
“Lebih membanggakan, pasukan junior mempunyai keunikan tersendiri yang mana mereka terdiri daripada murid berusia tujuh hingga sembilan tahun, sedangkan kebanyakan kumpulan lain dalam kategori ini terdiri daripada murid dalam lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun, mengikut syarat penyertaan yang ditetapkan,” katanya.
Kejayaan Les Chanteurs Senior turut dibantu hasil kerjasama erat antara Azahar bersama pemuzik pengiring, Dr. Mohd. Fairuz Zamani dan Haziq Iskandar Johan, manakala pasukan junior pula mendapat sentuhan pemuzik pengiring, Wong Jia Chun.
Pencapaian membanggakan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi Les Chanteurs sebagai antara pasukan koir sekolah rendah terbaik negara yang terus konsisten mencipta kecemerlangan di pentas antarabangsa.-UTUSAN
The post Les Chanteurs cipta hatrik, terus harumkan nama negara appeared first on Utusan Malaysia.
