Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM, setelah meneliti rayuan syarikat itu berhubung notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan hujah rayuan serta tindakan susulan yang telah diambil oleh syarikat berkenaan, termasuk permohonan maaf oleh pihak terlibat. MCMC turut mengambil kira kesan terhadap stesen radio lain seperti Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
Bagaimanapun, Maestra Broadcast dikenakan kompaun RM250,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang telah dipinda berkuat kuasa pada 11 Februari 2025).
Kesalahan tersebut melibatkan penyiaran kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM. Kompaun ini dikeluarkan selepas kelulusan diberikan oleh Jabatan Peguam Negara.
- ‘Berhenti jadi ‘badut’, polemik isu 3R’ – Sultan Pahang
- ‘Jadi ejen perpaduan, nokhtahkan isu yang berlaku’ – PM nasihat trio DJ Era FM
- ‘3 penyampai radio tidak dikenakan tindakan lanjut SKMM’ – Fahmi Fadzil
- Ladang cili diusahakan di tanah terbiar, peserta IPR bakal tuai hasil 40 tan cili
- Gaji dan elaun Ahli Parlimen cecah RM35,700 sebulan
MCMC menegaskan bahawa tindakan memuat naik kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum adalah perkara serius.
Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan supaya bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia terpelihara serta mematuhi undang-undang negara.
Terdahulu, tiga penyampai radio Era FM—Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin—terpalit kontroversi selepas sebuah video tular menunjukkan mereka didakwa mempersendakan tarian kavadi, sebuah ritual suci dalam perayaan Thaipusam.
Susulan itu, mereka telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan bertemu dengan pihak berkaitan bagi menjelaskan bahawa tindakan tersebut tidak berniat menghina mana-mana pihak.
The post Lesen Era FM tidak digantung, Maestra Broadcast didenda RM250,000 appeared first on .

