Via Licensing Alliance (Via) telah menaikkan yuran lesen untuk menggunakan codec popular Advanced Video Coding (AVC) atau lebih dikenali sebagai H.264/MPEG-4 Part 10 bermula tahun ini dengan struktur bertingkat mengikut jumlah pengguna platform. Sebelum ini bayaran yang dikenakan hanya $100,000 setahun tetapi kini meningkat sehingga $4.5 juta setahun.
Struktur yang diperkenalkan adalah OTT (lebih 100+ juta pelanggan), FAST (100+ juta pengguna harian), Media Sosial (lebih 1 bilion MAU), gaming awanan (lebih 15 juta MAU), TV satelit/kabel (lebih 7.45 juta pelanggan) dan rangkaian OTA (lebih 125 juta pelanggan). Yuran masih bermula $100,000 setahun untuk platform dengan kurang daripada 100,000 pelanggan.

Pelan bayaran baharu hanya dikenakan ke atas platform yang tidak mempunyai lesen sebelum ini. Pelanggan yang sudah berlesen akan kekal dengan struktur bayaran lama. Impak masa depan ialah platform baharu perlu menampung kos pelesenan yang lebih tinggi. Impak lebih panjang ialah mungkin ini akan mempopularkan codec sumber terbuka seperti AV1 (yang sudah digunakan YouTube dan Netflix) dan VP9.
Bagi pengguna biasa, impaknya akan membuatkan sokongan mengekod video menggunakan H.264/AVC akan dibuang pada komputer yang dibeli. Tahun lalu komputer keluaran Acer dan ASUS diharamkan jualannya di Jerman kerana tidak membayar lesen menggunakan codec H.265 kepada Nokia yang memegang patennya. Acer dan ASUS membuang kemampuan mengekod H.265 di negara tersebut kerana enggan membayar royalti.
Membuang H.264 adalah lebih sukar kerana pada ketika ini ia adalah codec yang popular digunakan dalam perisian suntingan video dan menjadi tulang belakang menyokong penstriman video di internet.
