Lesen pemandu mabuk, dadah wajar dibatalkan seumur hidup - MCCC

LocalPolitics
4 Jul 2026 • 7:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lesen pemandu mabuk, dadah wajar dibatalkan seumur hidup - MCCC
Laporan SInar Harian pada Jumaat berhubung kematian seorang kakitangan AADK yang dirempuh oleh pemandu positif dadah. GAMBAR KECIL: Daniel

SHAH ALAM – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menggesa kerajaan mempertimbangkan pembatalan lesen memandu seumur hidup terhadap individu yang disabitkan menyebabkan kemalangan maut ketika memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Pengerusi MCCC Negeri Pahang, Daniel Khoo berkata, hukuman penjara minimum lima tahun juga wajar dikaji bagi memperkukuh pencegahan dan memberi mesej tegas bahawa negara tidak berkompromi terhadap kesalahan yang meragut nyawa.

Menurutnya, tragedi membabitkan seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Muadzam Shah pada Jumaat membuktikan keperluan memperketatkan undang-undang sedia ada.

"Nyawa manusia tidak boleh diganti. Individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sedar akan risikonya, namun masih memilih untuk membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan pembatalan lesen memandu seumur hidup terhadap pesalah yang disabitkan menyebabkan kematian akibat kesalahan itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Daniel berkata, hukuman lebih berat bukan sekadar bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa memperhebat operasi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi selain memperluas kempen pendidikan keselamatan jalan raya.

Katanya, gabungan penguatkuasaan yang konsisten, hukuman lebih tegas dan pendidikan awam diyakini mampu mengurangkan kemalangan maut serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kakitangan AADK meninggal dunia selepas MPV dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi MPV di Kilometer 161 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Muadzam Shah pada Jumaat.

Kes berkenaan kini disiasat polis.

Mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun serta didenda RM50,000 hingga RM100,000.

Kesalahan menyebabkan kecederaan parah pula memperuntukkan hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved