KUALA LUMPUR – Inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran serendah RM10 sehari membolehkan penjaja berniaga secara sah tanpa gangguan, seterusnya membantu mereka meraih pendapatan mencecah ratusan ringgit sehari.
Penjaja minuman tin, Malisa Johan, 34, yang berasal dari Sabah yang menetap di Ampang berkata, pelaksanaan lesen itu memberi kelegaan besar kepada peniaga kecil.
Menurutnya, sebelum ini mereka sering berdepan risiko dihalau selain hanya dapat berniaga dalam tempoh masa yang terhad.
“Sangat membantu, sejak ada kaedah ini pengurusan lebih tersusun. DBKL tidak mengganggu dan kami boleh berniaga dengan tenang.
“Sekarang kami tidak takut lagi dan pendapatan meningkat hampir 100 peratus. Saya berniaga dari jam 6 petang hingga 12 malam dan boleh mendapat keuntungan sekitar RM200 hingga RM300 sehari.
“Berbeza dengan dulu yang hanya memperoleh sekitar RM100 atau kurang kerana berniaga dua hingga tiga jam sahaja.
“Pada waktu kemuncak, kami tidak dibenarkan berniaga kerana penguatkuasaan yang tegas,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, peniaga mainan, Anita Suharjo, 27, dari Gombak turut menyambut baik pelaksanaan lesen harian tersebut yang disifatkannya murah dan berbaloi.
Jelasnya, inisiatif ini perlu diteruskan dan bukan hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan.
Dia memberitahu perkara ini kerana ia dapat membantu penjaja menambah pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Memang bagus, harga lesen murah, sekarang tidak perlu takut untuk berniaga. Saya baru dua hari berniaga di sini selepas mengetahui melalui TikTok. Sebelum ini, saya menjaja sekitar Lembah Klang.
“Sekarang saya mendapat keuntungan RM200 hingga RM300 walaupun berniaga kecil-kecilan. Yang paling menggembirakan apabila saya boleh berniaga dengan tenang tanpa rasa risau.
“Kalau DBKL buat lagi, memang setiap hari saya mahu berniaga,” ujarnya.
Bagi penjaja buah potong, Muhammad Shamar Fadzil, 33, inisiatif DBKL mengenakan RM10 sehari untuk permit berniaga memang baik dan banyak membantu.
Muhammad Shamar memberitahu, dia kini lebih berani dan yakin untuk berniaga tanpa rasa bimbang.
“Dari segi keuntungan, bukanlah bertambah banyak, tetapi yang penting sekarang kami boleh berniaga dengan tenang tanpa gangguan. Boleh bersembang dengan pelanggan seperti biasa.
“Proses memohon lesen juga mudah, cuma bayaran menggunakan kod QR agak sukar untuk peniaga yang lebih berusia, tetapi pegawai DBKL sangat mesra dan banyak membantu,” ujarnya.
Dia turut mengharapkan agar perkara itu dapat diteruskan dan ditambah baik lagi pada masa depan.

