'Letakkan puisi di tempatnya semula'

29 Jul 2025 • 11:30 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Pelajar SMK Seri Sepang, Adziq Mursyid Azrin (tiga dari kanan) juara SDPKSM 2025. Tempat kedua dimenangi pelajar SMK Seksyen 18, Athirah Najwa Gazairi (dua dari kanan) dan Putri Nuralyaa Aqilah Jamil (kiri) dari SBPI Gombak tempat ketiga. Merakam kenangan ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Karangkraf, Zamri Rambli (kanan), Zainal (dua dari kiri) dan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Sektor Pembangunan Murid JPNS, Muhamad Faisal Abdullah (tiga dari kiri).

Semangat patriotik dan cintakan tanah air terus disemai dalam jiwa generasi muda melalui penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan SekolahSekolah Malaysia (SDPKSM) Peringkat Negeri Selangor 2025.

Program anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini, memberi ruang kepada pelajar sekolah menengah untuk menzahirkan semangat kemerdekaan melalui seni puisi.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu menyaksikan sejumlah 10 penyertaan pelajar dari seluruh daerah di Selangor, membawa mesej perjuangan, perpaduan dan harapan terhadap negara melalui lontaran suara serta penghayatan puisi-puisi.

Timbalan Presiden Gapena, Zainal Mohd Jais berkata, kehebatan deklamasikan puisi bertemakan patriotisme ini perlu dilihat generasi terdahulu yang mengamalkannya.

image is not available
Zainal Mohd Jais

“Kalau kita tengok masyarakat duludulu, puisi berakar di peringkat kampung sampai ke istana.

“Jadi, percayalah program seumpama ini, mampu meletakkan puisi di tempatnya semula sebagai alat menyemarakkan patriotisme dan menyemai semangat cintakan negara.

“Bagi generasi muda, ia perlu dilaksanakan lagi supaya puisi boleh memainkan peranan membangunkan masyarakat khasnya generasi masa kini,” katanya sewaktu pertandingan dijalankan pada minggu lalu.

Bertambah baik

Menerusi persembahan penuh penghayatan dan semangat cintakan tanah air, peserta dilihat bukan sekadar mampu bersaing di atas pentas, malah menyampaikan suara hati generasi muda tentang erti sebenar kemerdekaan serta tanggungjawab kepada negara.

Dengan penyertaan yang semakin memberangsangkan, sayembara ini bukan sahaja berjaya mencungkil bakat baharu dalam bidang deklamasi, malah mengangkat martabat puisi sebagai medium pendidikan patriotisme dalam kalangan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu 3, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berkata, penganjuran yang dilaksanakan tahun demi tahun akan mendapatkan hasil lebih baik dari segi penyertaan dan keseluruhannya.

image is not available
Danial Al Rashid

Ia berikutan pertandingan akhir peringkat negeri dilaksanakan tahun lalu.

“Selepas dilaksanakan dengan jayanya tahun lalu, saya percaya penganjuran sayembara ini akan mencapai ke satu tahap yang lebih baik.

“Hari ini pula dan pada masa akan datang, saya percaya penganjuran peringkat nasional di Melaka juga inginkan sesuatu yang lebih baik,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan.