
SURABAYA – Lima orang cedera dalam letupan kuat yang belum diketahui puncanya di kompleks rumah kedai San Antonio di Surabaya, wilayah Jawa Timur pagi tadi, dengan sekurang-kurangnya 20 bangunan di kawasan sekitarnya rosak, lapor agensi berita ANTARA.
Pegawai Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Surabaya, Tito berkata, semua mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan perubatan.
“Mangsa-mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan awal,” katanya.
Letupan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.11 pagi (waktu tempatan) .
Selain mencederakan lima orang, letupan itu turut merosakkan beberapa bangunan berhampiran, dengan tahap kerosakan daripada ringan hingga teruk.
Maklumat awal pihak berkuasa menunjukkan sekurang-kurangnya 20 bangunan terjejas. Beberapa kenderaan berhampiran lokasi kejadian turut rosak.
BPBD dan pihak berkuasa berkaitan telah memasang garisan kawasan larangan untuk memastikan penduduk berada pada jarak selamat serta memudahkan siasatan.
“Buat masa ini, pegawai-pegawai sedang memasang pita polis bagi mengekalkan jarak selamat,” kata Tito.
Pihak berkuasa turut memeriksa lokasi untuk mengenal pasti punca letupan tersebut. – AGENSI
The post Letupan kuat gegar Surabaya, 20 bangunan rosak appeared first on Kosmo Online.
