
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (6 September), penduduk Indonesia dan para pelancong digemparkan dengan insiden letusan Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera sehingga menyebabkan puluhan penerbangan dari Malaysia-Jakarta-Malaysia terpaksa dibatalkan.
Sebelum ini, Malaysia Airlines dan Batik Air memaklumkan 20 penerbangan antara Malaysia dan Jakarta dibatalkan susulan abu gunung berapi daripada Anak Krakatau mengganggu operasi di lapangan terbang terbabit.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pula, sebanyak 31 penerbangan terlibat dalam pembatalan ini berikutan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
View on Threads
Ramai Pelancong Malaysia Terkandas Di Indonesia, Perlu Berjimat Sementara Tunggu Waktu Pulang
Penerbangan yang terpaksa dijadualkan semula pada saat akhir ini sekaligus telah memberi impak kepada ramai pelancong termasuklah rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air.
Seorang pelancong dikenali sebagai Nurul Najwa Abu Bakar, 27, berkata mereka sekeluarga perlu berjimat-cermat memandangkan tidak pasti berapa lama situasi mengenai abu gunung berapi itu akan berlarutan.
“Tidak tahu sampai bila kami perlu berada di sini, jadi kena berjimat dan jangan boros,” katanya.
Sukar Cari Tempat Penginapanan Susulan Bencana Letusan Gunung Api
Jelasnya memetik Sinar Harian, dia bersama keluarga kini menginap di sebuah hotel sementara menunggu keadaan kembali pulih dan penerbangan pulang dapat diteruskan seperti sedia kala.
“Kami datang ke Indonesia selama empat hari semata-mata mahu pergi ke Bandung bersama keluarga. Namun, apabila dimaklumkan penerbangan pulang kami dibatalkan, kami terpaksa mencari hotel sementara.
“Pagi tadi memang jenuh hendak mencari hotel tetapi Alhamdulillah dapat yang tidak jauh dari lapangan terbang, kira-kira 30 minit,” kongsinya.
Penerbangan Baharu Dijadualkan Esok (8 September)
Menurutnya lagi, tarikh penerbangan baharu sudah pun dijadualkan semula pada Selasa (8 September) jam 11.15 pagi.
Najwa yang bimbang dengan bencana mengejut itu berkata mencari penginapan dan menguruskan penjadualan semula penerbangan merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dilaluinya.
“Hotel Pun Dah Penuh, Masih Tak Pasti Bila Ibu Boleh Balik” – Netizen
Bukan sahaja Najwa, malah menerusi semakan kami di laman Threads, ramai rakyat Malaysia yang melancong di sana turut terkandas dan berkongsi kesukaran mereka dalam mencari tempat penginapan di saat waktu genting ini.
“Sepatutnya hari ni mak mertua balik ke Malaysia, tapi penerbangan terkandas sebab gunung berapi meletus. Hotel pun dah penuh, dan masih tak pasti bila boleh balik. Dijangka Selasa kalau keadaan mengizinkan,” kata seorang netizen.
View on Threads
6 Gunung Berapi Aktif Di Indonesia Meletus Pada Hari Yang Sama
Untuk info, gangguan abu gunung berapi Anak Krakatau telah menjejaskan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk laluan menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul, Doha dan juga Amsterdam.
Bukan sahaja Gunung Anak Krakatau, malah terdapat lima gunung berapi lain di Indonesia yang meletus pada hari yang sama. Pun begitu, bencana itu berlaku secara berasingan dan tidak berpunca daripada satu proses geologi yang sama.
Wanita Indonesia Tawar Penginapan Percuma Kepada Rakyat Malaysia Yang Kini Terkandas
Prihatin dengan nasib orang ramai yang terkandas dan tidak ada tempat untuk berehat, seorang rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia telah menawarkan kediamannya di Jakarta untuk dijadikan tempat penginapan sementara secara percuma.
“Saya cuma rasa kasihan, takut kita panik dan kalut di negara orang, lebih-lebih lagi kalau persiapan atau bekalan dah habis. Tak perlu segan, kalau perlukan tempat untuk berehat sementara menunggu keadaan kembali okay, insya-Allah saya cuba bantu,” katanya.
View on Threads
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu pagi ini, Maira berkata rumahnya kini sudah penuh. Namun begitu, dia akan memaklumkan semula pada petang ini memandangkan ada segelintir tetamu yang akan meneruskan perjalanan mereka ke Surabaya.
View on Threads
Pelancong Malaysia Di Indonesia Dinasihat Sentiasa Semak Status Penerbangan
Dalam pada itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menasihatkan semua pelancong Malaysia yang melakukan perjalanan dari atau transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK), Jakarta supaya sentiasa menyemak status penerbangan masing-masing.
Ini termasuklah info penjadualan semula penerbangan dan laluan alternatif.

