Letusan Gunung Ruang Di Sulawesi, Potensi Tsunami Ketinggian 25 Meter

Environment
19 Apr 2024 • 12:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Amaran potensi tsunami yang mencapai hingga 25 meter dikeluarkan oleh badan geologi, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia akibat daripada letusan gunung berapi di Sulawesi Utara, Selasa lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua pasukan kerja gunung berapi, Heruningtyas menyatakan potensi tsunami bakal mengancam wilayah di sebelah barat Pulau Tagulandang.

image is not available

Foto: AFP

Berdasarkan catatan sejarah, potensi tsunami yang bakal melanda itu dikatakan mampu mencapai ketinggian 25 meter dan sangat berbahaya.

Heruningtyas berkata, ramalan yang telah disampaikan oleh pihaknya itu mencerminkan kejadian letusan gunung berapi pada Mac 1871.

image is not available

Foto: AFP

Difahamkan, gelombang tsunami yang melanda pantai Tagulandang pada saat itu mencapai ketinggian sehingga 25 meter sekali gus meragut 400 nyawa.

“Potensi tsunami boleh berlaku sekiranya bahan letusan Gunung Ruang jatuh ke dalam laut dan menyebabkan paras air laut meningkat,” katanya.

Tambahnya lagi, Tsunami berlaku apabila bahan letusan berkenaan jatuh ke dalam laut dan berpotensi untuk meningkatkan ketinggian permukaan air laut.

“Orang ramai di Pulau Tagulandang khususnya yang tinggal berhampiran pantai harus sedar dengan potensi letupan batu pijar, awan panas dan tsunami akibat runtuhan badan gunung berapi ke dalam laut,” ujarnya.

Selain menyeru penduduk di Pulau Tagulandang untuk sentiasa berjaga-jaga dengan kesan gunung berapi, Heruningtyas turut mengarahkan orang ramai dalam jarak enam kilometer dari gunung tersebut agar berpindah ke tempat lebih selamat.