Iktisad26/05/2026 - 07:00 Oleh Dr RAZLI RAMLI editor@dagangnews.com Ramai antara kita menganggap kelewatan membayar ansuran bulanan kereta hanyalah perkara kecil. Ada yang berfikir, “Baru lewat sehari dua sahaja,” atau “Nanti hujung bulan saya bayar.”
Namun hakikatnya, dalam sistem pembiayaan kenderaan, kelewatan walaupun sehari selepas tarikh akhir pembayaran sebenarnya sudah dikira sebagai kegagalan membuat bayaran atau default payment.
Perkara ini nampak kecil pada awalnya, tetapi jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kesan yang sangat besar terhadap kewangan, emosi dan kehidupan harian kita.
Kebanyakan rakyat Malaysia membeli kereta menggunakan kemudahan sewa beli (hire purchase). Dalam sistem ini, ramai yang tersalah faham dan menyangka kereta tersebut sudah menjadi milik penuh mereka selepas diserahkan.
Sebenarnya, sepanjang tempoh pembiayaan belum selesai, kereta tersebut masih berada di bawah hak milik bank. Kita hanyalah pengguna yang diberikan hak menggunakan kenderaan itu selagi bayaran dibuat mengikut jadual yang dipersetujui.
Sebagai contoh, jika tarikh akhir bayaran bulanan kereta ialah pada 1 Mac 2026, maka kita perlu memastikan bayaran dibuat sebelum atau pada tarikh tersebut. Apabila masuk sahaja 2 Mac 2026 dan bayaran masih belum dibuat, secara teknikalnya kita telah gagal membuat bayaran bagi bulan tersebut.
Walaupun baru lewat sehari, rekod kelewatan itu telah wujud dalam sistem bank. Sebab itu ramai yang mula menerima panggilan telefon, mesej atau WhatsApp daripada pihak bank sebagai peringatan untuk membuat bayaran.
Kadangkala kita berasa terganggu apabila bank sering menghubungi kita. Ada yang marah kerana merasakan pihak bank terlalu mendesak.
Namun sebenarnya, pihak bank hanya menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan pelanggan tidak terus tertunggak sehingga keadaan menjadi lebih serius. Pada peringkat awal ini, lazimnya bank masih memberi ruang dan peluang kepada pelanggan untuk menyelesaikan tunggakan dengan baik.
Lewat Sehari Pun Boleh Cetus Tindakan Bank
Namun, apabila bayaran masih tidak dibuat sehingga masuk bulan berikutnya, keadaan mula menjadi lebih serius. Sebagai contoh, jika selepas 1 April 2026 bayaran masih belum dibuat, maka pelanggan dianggap telah tertunggak selama dua bulan.
Pada tahap ini, pihak bank biasanya akan menghantar satu notis rasmi yang dikenali sebagai “4th Schedule Notice” di bawah Akta Sewa Beli 1967. Ramai yang menganggap surat ini sekadar surat biasa, sedangkan ia sebenarnya merupakan notis penting yang memberi amaran bahawa pihak bank bercadang untuk mengambil semula kenderaan tersebut.
Notis ini memberi tempoh tertentu, biasanya 21 hari, kepada pelanggan untuk menyelesaikan tunggakan. Dalam tempoh tersebut, pelanggan masih mempunyai peluang untuk berunding dengan pihak bank atau membuat bayaran bagi mengelakkan tindakan seterusnya.
Namun jika pelanggan terus mengabaikan notis tersebut, pihak bank boleh mengeluarkan arahan penarikan balik kenderaan atau Repossession Order (RO).
Apabila sampai ke tahap ini, proses menjadi lebih menyedihkan dan memalukan. Pihak penarik kereta atau repossessor akan datang untuk mengambil semula kenderaan tersebut. Ada kes berlaku di rumah, di tempat kerja, di pasar raya, malah ada yang ditarik ketika sedang makan di restoran.
Situasi seperti ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pemilik kenderaan, malah turut menjejaskan maruah dan emosi keluarga.
Lebih menyedihkan, selepas kereta ditarik, masalah sebenarnya belum selesai. Ramai menyangka apabila kereta sudah diambil semula, maka hutang juga dianggap selesai. Hakikatnya tidak begitu.
Risiko Kewangan Lebih Berat Selepas Kereta Ditarik
Selepas penarikan dibuat, pihak bank akan mengeluarkan satu lagi notis yang dipanggil “5th Schedule Notice”.
Surat ini memaklumkan bahawa kenderaan telah ditarik dan pelanggan diberikan tempoh tambahan, biasanya 21 hari lagi, untuk menjelaskan keseluruhan tunggakan berserta kos berkaitan seperti kos penarikan, kos simpanan, kos pentadbiran dan lain-lain.
Jika pelanggan masih gagal membuat bayaran dalam tempoh tersebut, kereta akan dilelong. Di sinilah ramai orang mula mengalami masalah kewangan yang lebih berat kerana hasil lelongan kereta lazimnya lebih rendah daripada baki hutang sebenar dengan bank.
Contohnya, baki hutang mungkin RM50,000 tetapi hasil lelongan hanya RM35,000. Maka baki RM15,000 itu masih perlu dibayar oleh pelanggan. Maksudnya, kereta sudah tiada tetapi hutang masih ada.
Kesan kelewatan bayaran kereta juga memberi impak kepada rekod kewangan seseorang. Rekod pembayaran yang buruk akan direkodkan dalam sistem seperti CCRIS dan CTOS.
Apabila rekod kewangan tidak baik, kita mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan lain pada masa hadapan seperti pembiayaan rumah, pembiayaan perniagaan atau kad kredit.
Ada juga majikan tertentu yang melihat rekod kewangan pekerja sebelum membuat pengambilan pekerja, khususnya bagi jawatan yang melibatkan kewangan dan pengurusan.
Selain itu, kelewatan bayaran juga memberi tekanan kepada kehidupan seharian. Kereta pada hari ini bukan lagi sekadar kemewahan, tetapi satu keperluan. Kita memerlukan kereta untuk pergi bekerja, menghantar anak ke sekolah, membawa ahli keluarga mendapatkan rawatan dan menguruskan urusan harian.
Apabila kereta ditarik, seluruh rutin kehidupan boleh terganggu. Ada yang terpaksa menaiki pengangkutan awam selama berjam-jam, ada yang hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja seperti biasa, dan ada juga yang menghadapi tekanan rumah tangga akibat masalah kewangan.
Disiplin Kewangan Elak Kesan Lebih Teruk
Sebab itu, disiplin dalam membuat bayaran bulanan sangat penting. Jika kita tahu kewangan agak ketat pada sesuatu bulan, cubalah berunding lebih awal dengan pihak bank. Jangan tunggu sehingga notis dihantar atau kereta hendak ditarik barulah mahu berbincang.
Kebanyakan bank sebenarnya mempunyai ruang untuk membantu pelanggan melalui penjadualan semula bayaran atau perbincangan tertentu, asalkan pelanggan menunjukkan kerjasama dan kejujuran.
Kita juga perlu belajar mengurus kewangan dengan lebih baik. Kadangkala masalah berlaku kerana kita mempunyai terlalu banyak komitmen. Ada yang membeli kereta melebihi kemampuan sebenar kerana mahu mengikut gaya hidup atau imej tertentu. Akhirnya setiap bulan hidup menjadi sempit hanya untuk membayar ansuran kereta.
Sebaiknya, pilihlah kenderaan mengikut kemampuan, bukan mengikut kehendak semata-mata.
Dalam masa sama, kita perlu membina tabung kecemasan. Kehidupan tidak sentiasa berjalan lancar. Ada masanya kita diuji dengan kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kecemasan keluarga.
Jika ada simpanan kecemasan sekurang-kurangnya bagi menampung tiga hingga enam bulan perbelanjaan, kita masih mampu meneruskan bayaran bulanan walaupun menghadapi kesukaran sementara.
Pelbagai Faktor Tak Bayar `On Time'
Hakikatnya, ramai orang sebenarnya pernah lewat membayar ansuran kereta. Ada yang lewat kerana terlupa, ada yang lewat disebabkan masalah aliran tunai sementara, dan ada juga yang benar-benar diuji dengan kesempitan hidup.
Namun apa yang penting ialah jangan mengambil mudah tentang kelewatan tersebut. Jangan biasakan diri bertangguh sehingga hutang menjadi semakin berat dan sukar dikawal.
Penulis ingin menegaskan bahawa bayaran bulanan kereta bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Walaupun lewat sehari, ia sudah dikira sebagai kelewatan dalam sistem pembiayaan. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada notis undang-undang, penarikan kereta, rekod kewangan buruk dan tekanan hidup yang besar.
Oleh itu, bayarlah ansuran kereta mengikut jadual dan uruslah kewangan dengan bijak. Kereta mungkin nampak seperti milik kita, tetapi selagi pembiayaan belum selesai, hakikatnya ia masih milik bank.
Jangan sampai kerana sikap suka melengah-lengahkan bayaran, kita kehilangan kenderaan, ketenangan dan masa depan kewangan kita sendiri. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM



