LFE Corporation terima 3 kontrak bernilai RM97.83 juta daripada Circuitry Electrical Engineering
azan
01/08/2023 - 18:35
KUALA LUMPUR 1 Ogos - LFE Corporation Berhad menerusi LFE Engineering Sdn. Bhd menerima tiga Surat Anugerah (LOA) daripada Circuitry Electrical Engineering Sdn. Bhd. dengan nilai keseluruhan RM97.83 juta bagi pembinaan satu unit kilang di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Menerusi kontrak itu, kumpulan itu dilantik sebagai subkontraktor untuk tempoh 24 bulan melibatkan tiga kerja berbeza di Lot No. H.S (D) 40377 dan PT 4083, Mukim 13, Daerah Seberang Perai Selatan.
Kumpulan itu berkata, kontrak pertama melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan selepas itu cadangan penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal bernilai RM40.29 juta.
Kontrak kedua menyaksikan, syarikat itu terlibat dengan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan selepas itu cadangan pemasangan elektrik dan voltan rendah tambahan (ELV) dengan nilai RM47.55 juta.
"Kontrak ketiga menyaksikan kumpulan itu perlu membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliahkan serta menyelenggara dan menyediakan perkhidmatan perlindungan kebakaran elektrik bernilai RM9.99 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang risiko material yang timbul daripada kontrak itu selain daripada risiko operasi biasa dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkannya.
Kontrak-kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan sehingga tamatnya kontrak.- DagangNews.com


