LFG beli dua kapal pengangkut kargo pukal kelas Ultramax bernilai RM213.2 juta

LocalBusiness & Finance
10 Jul 2026 • 3:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LFG beli dua kapal pengangkut kargo pukal kelas Ultramax bernilai RM213.2 juta Image from: LFG beli dua kapal pengangkut kargo pukal kelas Ultramax bernilai RM213.2 juta liza10/07/2026 - 15:12 Kapal Tian Mu Shan - Gambar Marine Traffic Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Julai – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) kini memasuki segmen kapal pengangkut kargo pukal bersaiz lebih besar menerusi pemerolehan dua kapal kelas Ultramax bernilai keseluruhan AS$52.3 juta (RM213.2 juta) bagi memenuhi permintaan industri yang terus berkembang.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan telah memeterai dua memorandum perjanjian berasingan bagi memperoleh MV Tian Mu Shan dan MV Yan Dang Shan yang menjadikannya kapal kelas Ultramax pertama dimiliki LFG.

 

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang LFG untuk mengembangkan perniagaan pengangkutan marin, selain memperluaskan penyertaannya dalam pasaran perkapalan kargo pukal di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Dengan pengambilalihan dua kapal Ultramax itu serta sebuah kapal Supramax yang dijadual diterima pada Ogos 2026, jumlah armada pengangkutan marin LFG akan meningkat kepada 41 buah kapal.

 

Armada Berkembang Kepada 41 Kapal

Daripada jumlah itu, LFG memiliki sebanyak 17 buah tongkang, 17 kapal tunda dan tujuh kapal pengangkut kargo pukal yang mengukuhkan lagi kedudukan LFG sebagai pemilik aset perkapalan kargo pukal terbesar di Malaysia.

 

LFG berkata, pengembangan armada tersebut selaras dengan sasaran strategiknya untuk memperkukuh segmen pengangkutan marin dengan memberi tumpuan kepada aset yang disewakan menerusi kontrak jangka panjang, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan serta mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan.

 

Menurut syarikat itu, pemerolehan kedua-dua kapal berkenaan dijangka selesai menjelang Oktober 2026 sekiranya tiada sebarang halangan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan LFG, Lim Chern Wooi berkata, sejak beberapa tahun lalu syarikat melaksanakan pelbagai langkah bagi mentransformasikan LFG menjadi sebuah kumpulan maritim yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.

 

Kurangkan Kebergantungan Kepada Sektor Minyak dan Gas

Katanya, pengembangan armada kapal pengangkut kargo pukal merupakan kesinambungan kepada strategi itu, selain membolehkan syarikat mengambil bahagian dalam pasaran perkapalan kargo pukal global yang mempunyai kitaran permintaan berbeza daripada perniagaan teras kapal sokongan luar pesisir (OSV).

 

"Strategi ini meletakkan LFG pada kedudukan yang lebih kukuh menerusi pendapatan berulang yang lebih stabil, daya tahan keuntungan yang lebih tinggi serta penyertaan yang lebih meluas dalam rantaian nilai industri maritim di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

 

LFG mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri maritim dan merupakan antara penyedia perkhidmatan marin serta pengangkutan laut utama di rantau Asia Tenggara.

 

Dengan penambahan dua kapal Ultramax itu, LFG dilihat terus mempercepat usaha mempelbagaikan sumber pendapatannya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas serta memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved