LG dilaporkan sedang berbincang untuk menjual keseluruhan perniagaan TV kepada Hisense menurut laporan EBN hari ini dengan pertemuan antara wakil kedua-dua syarikat sedang dilakukan Beijing. Punca utama perniagaan TV hampir 60 tahun LG dijual adalah kerana keuntungan semakin berkurangan dipacu oleh tekanan kompetitif daripada jenama TV China seperti TCL dan Hisense.

Sekiranya laporan ini tepat, ia menjadi sebuah lagi perniagaan di mana LG mengibarkan bendera putih selepas menarik diri daripada pasaran telefon pintar pada tahun 2021 juga disebabkan persaingan daripada pengeluar China. Tahun lalu Samsung masih di tangga teratas dengan pegangan 17% pasaran diikuti oleh TCL (16%), Hisense (10%), LG (9%) dan Walmart (5%). Walaupun berada di tangga ke-empat, LG ingin menjual perniagan mereka kepada syarikat di tangga ketiga.
Tindakan yang sebenarnya tidak mengejutkan kerana Sony sendiri menjual perniagaan TV mereka kepada TCL tahun ini dengan pembentukan anak syarikat baharu Bravia Inc. Sony hanya menyumbang kepada pembangunan teknologi sementara pengeluaran panel serta TV akan dilakukan oleh TCL. Persaingan syarikat China memaksa Sony yang dahulunya gah dengan Trinitron terpaksa mengaku kalah.
Samsung masih di tangga teratas dengan ia adalah tahun ke-20 mereka di persada. Namun begitu tahun ini mereka menarik diri daripada pasaran TV China kerana persaingan harga yang terlalu sengit. Era keunggulan TV teknologi Jepun sudah berakhir dan kini mungkin diambil China memintas pula era Korea Selatan tidak lama lagi.





