Minggu lalu Gamers Nexus dan Level1Techs menerbitkan video yang mendakwa TV pintar LG mengintip aktiviti pemilik tanpa kebenaran. Sabtu lalu, akhirnya LG mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan semua dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan LG, mereka menegaskan TV mereka tidak merakam perbualan secara berterusan. Rakaman suara hanya berlaku apabila pengguna menyebut kata kunci atau menekan butang suara/AI pada alat kawalan jauh.

Audio untuk pengesanan kata kunci ini diproses terus pada TV dan bukan di awanan. Jika tiada kata kunci dikesan, audio tidak ditukar kepada teks, disimpan, atau dihantar. Data log teknikal mungkin dijana tetapi tidak dimuat naik jika TV tidak bersambung internet.
Tambah LG lagi, sistem pengesanan kandungan automatik (ACR), pengecaman suara, dan iklan berasaskan minat memerlukan persetujuan pengguna semasa TV diaktifkan.
Dalam video Gamers Nexus dan Level1Techs, TV LG didakwa mendengar perbualan pemilik secara rahsia walaupun TV diletakkan dalam mod menanti dan tanpa sambungan internet. Log perbualan ini kemudiannya didakwa dihantar ke LG bagi tujuan pengumpulan data.
Ini merupakan insiden kedua produk LG menimbulkan kontroversi tahun ini. Pada Julai lalu, perisian monitor LG di PC didapati memasang aplikasi iklan tanpa kebenaran pemilik. Ciri ini dibuang dengan segera oleh LG selepas menerima teguran oleh Microsoft.



