LGMS tembusi pasaran keselamatan siber perbankan Kemboja
azan
07/08/2023 - 15:08
KUALA LUMPUR 7 Ogos - LGMS Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menembusi pasaran perbankan Kemboja dengan membantu ABA Bank mendapatkan pensijilan Piawaian Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran (PCI DSS) antarabangsa.
ABA Bank merupakan anak syarikat National Bank of Canada iaitu bank komersial terbesar di Kemboja dengan aset, deposit, pinjaman dan keberuntungan paling besar berdasarkan Laporan Penyeliaan Tahunan 2021 oleh National Bank of Cambodia.
Ketua Pegawai Operasi LGMS, Gilbert Chu berkata, pencapaian bagi pensijilan PCI DSS itu bukan sahaja menunjukkan komitmen ABA Bank memastikan standard keselamatan tertinggi bagi transaksi dalam talian dan perlindungan data pelanggan malah juga membuktikan kualiti perkhidmatan LGMS.
Beliau berkata menerusi pensijilan itu, ABA Bank berada dalam kumpulan elit institusi kewangan global yang komited untuk melindungi maklumat pemegang kad.
Proses itu memerlukan audit ketat yang dijalankan oleh LGMS, Penilai Keselamatan Berkelayakan (QSA), ke atas sistem, dasar dan prosedur ABA Bank untuk menunjukkan pematuhan penuh terhadap keperluan PCI DSS antarabangsa yang ketat.
Gilbert berkata, memandangkan ancaman siber terus berkembang dari segi aspek maka, langkah keselamatan siber yang kukuh adalah penting dalam mengekalkan kepercayaan dan keyakinan dalam transaksi digital.
Mengenai rancangan strategik LGMS untuk pengembangan serantau di negara jiran seperti Kemboja, Singapura dan Vietnam, beliau berkata trend pasaran dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber terus memacu strategi pertumbuhan mereka.
“Memandangkan lebih banyak organisasi mengutamakan keselamatan korporat dan beralih kepada pengkomputeran awan, permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber khusus termasuk pengurusan kerentanan, tindak balas insiden, forensik digital dan perundingan keselamatan siber," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Ketua Pegawai Maklumat ABA Bank, Galymzhan Temirov menyifatkan pensijilan PCI DSS sebagai mewakili usaha berterusan pihaknya untuk mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan kewangan yang selamat dan mendukung piawaian keselamatan transaksi dalam talian dan perlindungan data pelanggan yang tertinggi.
Pada April 2023, Mitsui & Co Ltd, antara konglomerat Jepun yang paling pelbagai, menjadi pemegang saham utama dalam LGMS dengan 25% kepentingan ekuiti.- DagangNews.com

